Anti Rasuah
Apakah ABMS
Komitmen CIDB dalam menjayakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ISO 37001:2016 adalah untuk mencegah rasuah dan memastikan bahawa orang yang bertindak bagi pihak CIDB juga mematuhi dasar anti-rasuah yang ditetapkan oleh CIDB.
Selain itu, penglibatan pihak ketiga seperti konsultan, pembekal atau rakan kongsi secara tidak langsung akan terlibat dalam pematuhan dasar anti-rasuah yang diwujudkan dengan memberikan komitmen mereka melalui pematuhan semua peraturan yang ditetapkan oleh CIDB.
Rasuah dalam konteks Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) membawa maksud memberi atau menawarkan, menerima atau meminta atau setuju untuk menerima atau meminta suapan secara langsung atau tidak langsung sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.
Pihak CIDB komited untuk mempraktikkan tadbir urus terbaik melalui pengurusan risiko rasuah secara terancang demi memberikan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti kepada pihak berkepentingan di samping memastikan kawalan serta penambahbaikan dijalankan secara strategik dan berterusan.
Faedah ABMS Kepada Industri
- Mengambil tindakan terhadap rasuah untuk perniagaan yang lebih beretika
- Mengenal pasti serta mengurus rasuah dengan mewujudkan sistem pengurusan anti rasuah berasaskan risiko
- Meningkatkan kecekapan dan keberkesanan organisasi dalam menguruskan risiko yang berkaitan dengan rasuah
- Meningkatkan kesedaran tentang kesan rasuah terhadap organisasi
- Menonjolkan keupayaan untuk mengesan penipuan
- Meningkatkan reputasi dan imej organisasi dengan memastikan pematuhan undang-undang
- Menunjukkan tanda aras amalan baik dalam anti rasuah
- Menunjukkan komitmen organisasi terhadap amalan anti rasuah.
- Memberi keyakinan dan kepercayaan kepada bakal rakan kongsi.
Polisi Anti-Rasuah
Polisi Anti Rasuah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini diwujudkan bagi menerangkan dasar CIDB mengenai peraturan serta larangan terhadap sebarang aktiviti berbentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Polisi ini juga adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan lain-lain akta serta peraturan yang berkaitan dan sedang berkuatkuasa. Melalui Polisi ini, ianya dapat membentuk satu hala tuju yang jelas di kalangan pegawai dan kakitangan CIDB untuk bersama-sama dalam usaha membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam industri pembinaan.
Polisi ABMS ini juga sebagai tanda komitmen pegawai dan kakitangan CIDB dalam menambahbaik Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR), memantapkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, telus dan amanah selaras dengan visi “Menjadi organisasi yang unggul dalam mencapai kecemerlangan pembinaan di Malaysia”.
Dengan diterajui oleh Jawatankuasa Tatakelola (JTK) CIDB yang berwibawa, bebas, berautoriti, SPAR dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berupaya untuk menggalakkan pemberian maklumat secara telus pada tahap perlindungan maklumat yang tinggi tanpa kebimbangan yang melampau terhadap tindakan balas.
Sekiranya polisi ini diabaikan atau tidak dipatuhi dengan berkesan, tindakan menurut tatatertib CIDB atau hukuman mengikut undang-undang boleh dikenakan tanpa ragu sebagai peringatan kepada warga kerja CIDB.
Objektif Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ISO 37001:2016
Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ini, maka CIDB akan berusaha untuk mencapai objektif-objektif pengurusan rasuah berikut:
- 1. Menyediakan program kesedaran mengenai Integriti & Antirasuah kepada staf CIDB berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) (20 Program Integriti & Antirasuah setiap tahun);
- 2. Menyediakan saluran aduan perlakuan tidak wajar integriti staf CIDB, sama ada melalui sistem atau secara manual dan memproses aduan secara sistematik, mesra pengguna dan dikendalikan dengan berkesan;
- 3. Mewujudkan jalinan kerjasama yang adil, telus dan beretika dengan memastikan rakan niaga mematuhi polisi berkaitan Antirasuah melalui hebahan kepada rakan niaga sekurang-kurangnya sekali setahun.
Pertanyaan & Laporan
Sebarang aduan boleh dilaporkan menerusi saluran berikut:
- Hadir sendiri untuk berjumpa atau menghubungi Pegawai Unit Integriti di Bahagian Audit & Risiko atau
Puan Halimah Binti Ruhani
Pengurus
Unit Integriti
Bahagian Audit & Risiko
Email/Telefon: [email protected]/ 03-62067018
Encik Iskandar Zulzaraeen Bin Zulfakar
Penolong Pengurus
Unit Integriti
Bahagian Audit & Risiko
Email/Telefon : [email protected]/ 03-62067030
- Emelkan aduan ke alamat emel [email protected]; atau
- Menghantar surat ke alamat (Surat layang atau surat tanpa penama adalah diterima):
CIDB Malaysia
Bahagian Audit & Risiko
Tingkat 15, CIDB 520
The MET Corporate Towers
No 20 Jalan Dutamas 2
50480 Kuala Lumpur



