Pendaftaran Personel Binaan
(Kad Hijau)
Program Untuk Industri
Peruntukan Undang-Undang
Menurut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) 1994:
1. Pendaftaran Personel Binaan, Seksyen 33(1):
Seseorang tidak boleh terlibat, atau diambil, atau mengaku janji untuk terlibat, atau diambil sebagai personel binaan melainkan jika dia berdaftar dengan Lembaga dan memegang suatu perakuan pendaftaran yang sah yang dikeluarkan oleh Lembaga di bawah Akta ini.
2. Pemerakuan Penyelia Tapak Binaan dan Pekerja Binaan Mahir, Seksyen 33A(1):
Tiada penyelia tapak binaan atau pekerja mahir boleh terlibat atau diambil sebagai penyelia tapak binaan atau pekerja binaan mahir melainkan jika dia diakreditasi dan diperakukan oleh Lembaga dan memegang suatu perakuan yang sah yang dikeluarkan oleh Lembaga di bawak Akta ini.
Tafsiran Personel Binaan
Menurut Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520) 1994:
1. Seksyen 2(1):
i) Pekerja Binaan Am
ii) Pekerja Binaan Separa Mahir
iii) Pekerja Binaan Mahir
iv) Penyelia Tapak Binaan
v) Pengurus Projek Binaan; dan
vi) Mana-mana pekerja lain dalam industri pembinaan sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.
i) Pekerja Binaan Am
Mana-mana pekerja atau golongan pekerja yang tidak mahir dan yang diambil bagi kerja manual.
ii) Pekerja Binaan Separa Mahir
Mana-mana pekerja yang memiliki tahap kemahiran, pengetahuan, kelayakan dan pengalaman yang diterima bagi satu tred atau lebih sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga.
iii) Pekerja Binaan Mahir
Mana-mana pekerja yang memiliki tahap kemahiran, pengetahuan, kelayakan dan pengalaman yang diterima bagi satu tred atau lebih sebagaimana yang ditentukan oleh Lembaga dan yang disenaraikan dalam Jadual Ketiga.
iv) Penyelia Tapak Binaan
Mana-mana pekerja yang memiliki tahap kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang diterima yang ditugaskan kepada suatu tapak pembinaan atau mana-mana tempat lain yang sedemikian untuk menyelia kerja pembinaan.
vi) Pengurus Projek Binaan
Mana-mana pekerja yang memiliki tahap kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang diterima sebagaimana yang ditentukan dan yang ditugaskan kepada tapak pembinaan atau mana-mana tempat lain yang sedemikian untuk mengatur, merancang, mengawal dan menyelaraskan kerja pembinaan dari awal hingga selesai.
Terma Pendaftaran
1. Perakuan pendaftaran personel binaan/ kad pendaftaran personel binaan merupakan hak milik CIDB. Perakuan/ kad ini tidak boleh dipindah milik atau dipegang atau disimpan oleh individu lain yang tidak berkenaan selain dari individu yang dinamakan pada perakuan/ kad.
2. Personel binaan bertanggungjawab untuk mematuhi syarat-syarat pendaftaran personel binaan dan Akta 520 serta undang-undang berkaitan sepanjang tempoh sah pendaftaran.
3. Personel binaan dikehendaki untuk mematuhi arahan/ pekeliling yang dikeluarkan oleh CIDB dari semasa ke semasa sama ada dalam bentuk media cetak atau media elektronik. Mana-mana arahan/ pekeliling yang diedar melalui pos, hebahan akhbar, laman web, media atau apa-apa kaedah hebahan akan disifatkan telah diterima oleh personel binaan.
4. Semua maklumat yang dikemukakan kepada CIDB adalah menjadi hak milik CIDB. CIDB mempunyai hak untuk mengguna dan menzahirkan maklumat tersebut dalam apa jua bentuk terbitan untuk kegunaan dan kepentingan industri pembinaan.
Syarat Pendaftaran
Individu wajib berdaftar sebagai personel binaan berdasarkan syarat seperti berikut:
1. Memiliki dokumen pengenalan diri seperti berikut:
a) Kad Pengenalan Malaysia.
b) Pasport dengan permit kerja yang sah dari Jabatan Imigresen Malaysia.
c) Pas IMM13P.
2. Berumur 16 tahun dan ke atas. Merujuk kepada nota di bawah
3. Mempunyai sijil keselamatan pembinaan seperti:
a) Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Tapak Bina (SICW);
b) eLearning Kursus Induksi Keselamatan dan Kesihatan Pekerja di Tapak Bina (eSICW);
c) eSICW CIDB Holdings (eSICW CIDBH); atau
d) Sijil/ pasport keselamatan yang diiktiraf CIDB.
4. Melaksanakan kerja-kerja pembinaan.
5. Mematuhi undang-undang dan peraturan dari CIDB.
Nota:
Personel binaan dilindungi sehingga 70 tahun di bawah Pelan Perlindungan Personel Binaan Berkelompok CIDB.
Tempoh Pendaftaran
1. Kad Pengenalan Malaysia:
a) Tempoh pendaftaran adalah minimum, 1 tahun sehingga maksimum, 5 tahun bagi permohonan baru/pembaharuan.
b) Tarikh tamat pendaftaran adalah berdasarkan tarikh lahir pemohon.
2. Permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS)/ Pas Penggajian (EP):
Tempoh pendaftaran adalah berdasarkan tarikh tamat permit.
3. IMM13P
Tempoh pendaftaran adalah berdasarkan tarikh tamat pas.
Permohonan Pendaftaran Personel Binaan
1. Permohonan baru/ pembaharuan pendaftaran personel binaan CIDB hanya dijalankan secara dalam talian di Sistem CIMS.
2. Pendaftaran boleh dibuat menggunakan kaedah berikut:
No. | Pengenalan Diri | ID Pengguna |
a) | Kad Pengenalan Malaysia | ID Majikan atau ID Individu. |
b) | Pasport dengan Permit PLKS/ EP | ID Majikan sahaja. |
c) | Pas IMM13P | ID Majikan sahaja. |
3. Permohonan pendaftaran personel binaan CIDB tidak perlu mengemukakan salinan kad pengenalan atau pasport di Sistem CIMS.
4. Pemohon IMM13P perlu memuat naik salinan pas dan gambar pasport.
5. Pendaftaran personel binaan boleh diperbaharui 60 hari sebelum tarikh luput.
6. Pemohon perlu melengkapkan maklumat seperti berikut di Sistem CIMS:
a) Peribadi – berdasarkan pendaftaran ID Pengguna di Sistem CIMS.
b) Majikan/ bekerja sendiri.
c) Sijil/ pasport keselamatan.
d) Akademik.
e) Kemahiran.
f) Pengesyoran kategori pekerjaan dan tred.
g) Benefisiari
h) Tempoh pendaftaran.
i) Pilihan pengeposan dan bayaran.
7. Perakuan Pendaftaran Personel Binaan dijana secara automatik di Sistem CIMS selepas bayaran berjaya dibuat. Perakuan tersebut boleh digunakan sebagai dokumen sah untuk memasuki tapak bina. Personel Binaan dilindungi di bawah Pelan Perlindungan Personel Binaan Berkelompok.
Sijil Keselamatan Pembinaan
1. Pengguna tidak perlu memuat naik sijil keselamatan pembinaan bagi Kursus SICW/ eSICW/ eSICW CIDBH. Maklumat sijil keselamatan pembinaan SICW/ eSICW/ eSICW CIDBH dipaparkan secara automatik di Sistem CIMS.
2. Selain sijil keselamatan pembinaan SICW/ eSICW/ eSICW CIDBH, pemohon boleh menggunakan sijil/ pasport keselamatan yang diiktiraf CIDB dan perlu dimuat naik di Sistem CIMS.
Yuran Pendaftaran
Tahun | Kadar Bayaran (RM) |
1 | 35.00 |
2 | 60.00 |
3 | 85.00 |
4 | 110.00 |
5 | 135.00 |
2. Yuran pendaftaran ini adalah sama bagi permohonan tempatan, asing dan pemegang IMM13P.
3. Bayaran hanya boleh dijelaskan secara dalam talian di Sistem CIMS melalui
a) Perbankan atas talian; atau
b) Kad kredit/ debit.
Kategori Pekerjaan dan Tred
Kategori pekerjaan personel binaan ditentukan seperti berikut:
1. Pelatih Binaan
Latihan praktikal di:
i. Pusat Pengajian
ii. Industri pembinaan
2. Pekerja Binaan Am
Tidak mempunyai sebarang sijil kemahiran/ akademik.
3. Pentadbiran
Mempunyai sijil akademik.
4. Pekerja Binaan Separa Mahir
Tred kemahiran yang tidak tersenarai di Jadual Ketiga, Akta 520.
5. Pekerja Binaan Mahir
Tred kemahiran yang tersenarai di Jadual Ketiga, Akta 520.
6. Penyelia Tapak
Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) Construction Site Supervisor.
7. Pengurus Projek Binaan
Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) Construction Project Manager
Nota: Kategori pekerjaan diberikan berdasarkan kelayakan akademik dan kemahiran yang tertinggi.
Kemaskini Maklumat
1. Personel binaan boleh mengemaskini maklumat majikan/ bekerja sendiri di menu Sistem CIMS CIDB > Construction Personnel > Update Company.
Kemaskini Senarai Personel Binaan
1. Personel Binaan Tempatan/ IMM13P
Majikan boleh mengemaskini maklumat personel binaan tempatan/ IMM13P di menu Sistem CIMS CIDB > Construction Personnel > Personnel Card > Personnel Card Listing.
2. Personel Binaan Asing
Majikan perlu mengemukakan dokumen sokongan dari Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengeluarkan personel binaan asing tersebut di Sistem CIMS.
Kemaskini Benefisiari
1. Benefisiari adalah pihak yang dinamakan oleh personel binaan untuk menerima manfaat Perlindungan Personel Binaan Berkelompok.
2. Personel binaan boleh mengemaskini maklumat benefisiari di menu Sistem CIMS CIDB > Construction Personel > Personnel Insurance > Update Beneficiary Detail.
Pengesahan Pendaftaran Personel Binaan
1. CIDB mengiktiraf personel binaan melalui:
- a) Perakuan Pendaftaran Personel Binaan.
Dijana secara automatik selepas bayaran personel binaan dijelaskan di Sistem CIMS. Perakuan dijana secara percuma di menu Sistem CIMS > Construction Personnel > View My Biodata > Print Perakuan. - b) Apps CIDB Malaysia
Maklumat personel binaan dapat disahkan dengan memasukkan No. Kad Pengenalan/ Pasport/ IMM13P di menu Construction Personnel. Aplikasi ini boleh dimuat turun di telefon bimbit melalui Google Play Store atau Apple App Store. - c) Carian Personel Binaan
Maklumat personel binaan boleh disemak melalui No. Kad Pengenalan/ Pasport/ IMM13P di Sistem CIMS. Medium ini memaparkan maklumat status penghantaran kad dan tempoh pendaftaran personel binaan terdahulu. - d) Kad Pendaftaran Personel Binaan
i. Kad hanya dicetak sekali sahaja bagi pendaftaran personel binaan.
ii. Kad tidak akan dicetak bagi permohonan pembaharuan, kecuali bagi permohonan pembaharuan dengan no. pasport baru.
iii. Tarikh yang tertera pada kad merujuk kepada tarikh luput mastercard, dan bukan tarikh luput pendaftaran personel binaan.
iv. Tarikh luput pendaftaran personel binaan boleh disemak pada perakuan pendaftaran personel binaan/ apps CIDB Malaysia/ carian personel binaan di Sistem CIMS.
v. Kad personel binaan dicetak dan diposkan ke alamat yang dipilih dalam tempoh 60 hari selepas bayaran dibuat di Sistem CIMS.
vi. Status penghantaran kad boleh disemak di Carian Personel Binaan.
Gantian Kad
1. Personel binaan boleh membuat permohonan gantian kad personel binaan di Sistem CIMS CIDB > Construction Personnel > Personnel Card Replacement.
2. Kad personel binaan dicetak dan diposkan ke alamat yang dipilih dalam tempoh 60 hari selepas bayaran dibuat di Sistem CIMS.
3. Kadar bayaran gantian kad adalah seperti berikut:
Kali | Kadar Bayaran (RM) |
1 | 60.00 |
2 | 160.00 |
3 & Ke Atas | 260.00 |
Kad Gagal Diserahkan Ke Personel Binaan
1. Kad pendaftaran personel binaan yang gagal diserahkan ke alamat pengeposan perlu diambil di CIDB Negeri/ Cawangan.
2. CIDB tidak melayan permohonan pengeposan semula.
3. Personel binaan perlu membawa dokumen yang diperlukan bagi pengambilan kad personel binaan di CIDB Negeri/Cawangan. Individu yang gagal menunjukkan dokumen yang ditetapkan tidak akan dilayan.
Pelan Perlindungan Personel Binaan Berkelompok
1. Pelan ini merupakan perlindungan berbentuk hibah (pemberian/ hadiah).
2. Hibah ini diberikan kepada:
a) Personel binaan yang ditimpa kemalangan; atau
b) Benefisiari yang dinamakan sekiranya berlaku kematian.
3. Perlindungan ini diberikan kepada personel binaan CIDB, berumur 16 tahun hingga 70 tahun sahaja.
4. Skop manfaat adalah seperti berikut:
No. | Skop | Amaun Manfaat (RM) |
1. | Kematian akibat kemalangan | 21,000.00 |
2. | Kematian akibat sakit | 3,000.00 |
3. | Belanja pengebumian | 500.00 |
4. | Keilatan kekal akibat kemalangan | 18,000.00* |
5. | Keilatan kekal seluruh badan akibat sakit | 3,000.00 |
6. | Manfaat wad hospital akibat kemalangan | 25/ hari** |
7. | Kerusi roda/ tongkat/ anggota palsu | 500.00* |
*Maksimum yang dibayar kepada personel binaan/benefisiari.
**Maksimum adalah 30 hari.
5. Tuntutan perlu dikemukakan tidak lewat dari 60 hari dari tarikh kejadian dengan melengkapkan maklumat di Sistem CIMS dan Borang UPPT-1/v02, serta menyerahkan borang tersebut ke Zurich Takaful Malaysia Berhad.
6. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Zurich Takaful Malaysia Berhad di:
a) E-Mel: cidbinquiry@zurich.com.my
b) No. Tel.: 1-300-888-622 / 03-2109 6222/ 03-2109 6213
Kebenaran Khas Memasuki Tapak Bina
1. Kebenaran Khas Memasuki Tapak Bina adalah satu perakuan membenarkan individu yang tidak layak berdaftar sebagai personel binaan tetapi perlu berada/ berkerja di tapak bina.
2. Kebenaran Khas Memasuki Tapak Bina terikat dengan tempoh permit yang dibenarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia atau bergantung kepada polisi CIDB.
3. Pemegang Kebenaran Khas Memasuki Tapak Bina tidak dilindungi pelan Perlindungan Personel Binaan Berkelompok.
4. Majikan perlu memohon Kebenaran Khas secara atas talian melalui Sistem CIMS CIDB > Construction Personnel > Kebenaran Khas Application.
Aduan/Cadangan Penambahbaikan
a) Laman sesawang Sistem e-Bantuan CIDB.
b) Talian telefon 03-5567 3300.
Program Untuk Industri