Skip to main content
BeritaHeights

Insiden Pekerja Binaan Tertimbus Di Lipis: CIDB Arah Subkontraktor Terlibat Berhentikan Kerja-Kerja Penggalian

By Disember 18, 2023Disember 19th, 2023No Comments
Insiden Pekerja Binaan Tertimbus Di Lipis: CIDB Arah Subkontraktor Terlibat Berhentikan Kerja-Kerja Penggalian

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), telah mengarahkan subkontraktor yang terlibat dengan kerja-kerja penggalian di tapak projek Central Spine Road Package 4 di Lipis, untuk memberhentikan kerja-kerja penggalian berikutan kejadian pekerja tertimbus dan meninggal dunia di tapak projek tersebut pada Disember 12.

Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Dato’ Sr Mohd Zaid Zakaria berkata semua kerja- kerja di tapak projek tersebut telah diarah diberhentikan sehingga kawalan yang mencukupi ke atas aktiviti kerja penggalian dikemukakan kepada CIDB dan kontraktor mematuhi arahan keselamatan kerja-kerja penggalian tanah dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

Menurut beliau CIDB akan menyiasat insiden ini di bawah Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (Akta 520), Seksyen 34B (1) Kewajipan Kontraktor. Seksyen ini menyebut, seseorang kontraktor yang mengusahakan apa- apa kerja pembinaan hendaklah:

a) Memberitahu & mengemukakan kepada Lembaga apa-apa maklumat dan dokumen, termasuk apa-apa dokumen sokongan yang berhubungan dengan kerja pembinaan itu, sama ada baru atau sebaliknya.

b) Memastikan kerja pembinaan dijalankan mengikut peruntukan Akta ini, mana-mana peraturan, terma dan syarat yang dikenakan oleh Lembaga dan mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

c) Memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan sama ada semasa atau selepas kerja pembinaan.

Menurut Seksyen 34D kematian yang disebabkan oleh pelanggaran kewajipan oleh kontraktor, mana-mana kontraktor yang melanggar kewajipannya di bawah perenggan 34B(1)(c), dan yang pelanggaran kewajipan itu menyebabkan kematian, melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua- duanya.

Siasatan awalan CIDB mendapati subkontraktor yang terlibat tidak mengisytiharkan projek tersebut di dalam sistem CIDB dan ini melanggar Seksyen 34B(1)(a) seperti di atas. Sementara itu, CIDB juga mendapati tiga pekerja binaan terbabit, termasuk mangsa kejadian yang maut, tidak mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan CIDB. Seorang lagi pekerja didapati mempunyai perakuan pendaftaran personel binaan yang telah tamat tempoh. Selain itu, penyelia tapak binaan bagi projek tersebut juga didapati tidak diakreditasi sebagai Penyelia Tapak Bina.

Menurut Seksyen 33, Akta 520 semua pekerja binaan perlu mempunyai perakuan pendaftaran personnel pembinaan dan semua pekerja binaan mahir dan penyelia tapak binaan perlu diakreditasi dan diperakukan oleh CIDB. Sekiranya gagal mematuhi seksyen ini, apabila disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM5,000.

Keperluan akreditasi ke atas Pekerja Binaan Mahir dan Penyelia Tapak Binaan ini adalah sangat penting bagi memastikan pekerja terbabit dapat memberi hasil kerja yang berkualiti dan peka terhadap keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak bina.

mceia 1

This will close in 20 seconds