Apakah ABMS

Komitmen CIDB dalam menjayakan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ISO 37001:2016 adalah untuk mencegah rasuah dan memastikan bahawa orang yang bertindak bagi pihak CIDB juga mematuhi dasar anti-rasuah yang ditetapkan oleh CIDB.

Selain itu, penglibatan pihak ketiga seperti konsultan, pembekal atau rakan kongsi secara tidak langsung akan terlibat dalam pematuhan dasar anti-rasuah yang diwujudkan dengan memberikan komitmen mereka melalui pematuhan semua peraturan yang ditetapkan oleh CIDB.

Rasuah dalam konteks Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) membawa maksud memberi atau menawarkan, menerima atau meminta atau setuju untuk menerima atau meminta suapan secara langsung atau tidak langsung sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.

Pihak CIDB komited untuk mempraktikkan tadbir urus terbaik melalui pengurusan risiko rasuah secara terancang demi memberikan perkhidmatan yang cekap dan berintegriti kepada pihak berkepentingan di samping memastikan kawalan serta penambahbaikan dijalankan secara strategik dan berterusan.

Polisi Anti Rasuah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ini diwujudkan bagi menerangkan dasar CIDB mengenai peraturan serta larangan terhadap sebarang aktiviti berbentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Polisi ini juga adalah selaras dengan peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan lain-lain akta serta peraturan yang berkaitan dan sedang berkuatkuasa. Melalui Polisi ini, ianya dapat membentuk satu hala tuju yang jelas di kalangan pegawai dan kakitangan CIDB untuk bersama-sama dalam usaha membanteras jenayah rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa dalam industri pembinaan.

Polisi ABMS ini juga sebagai tanda komitmen pegawai dan kakitangan CIDB dalam menambahbaik Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR), memantapkan kecekapan tadbir urus dan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, telus dan amanah selaras dengan visi “Menjadi organisasi yang unggul dalam mencapai kecemerlangan pembinaan di Malaysia”.

Dengan diterajui oleh Jawatankuasa Anti-Rasuah (JAR) CIDB yang berwibawa, bebas, berautoriti, SPAR dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berupaya untuk menggalakkan pemberian maklumat secara telus pada tahap perlindungan maklumat yang tinggi tanpa kebimbangan yang melampau terhadap tindakan balas.

Sekiranya polisi ini diabaikan atau tidak dipatuhi dengan berkesan, tindakan menurut tatatertib CIDB atau hukuman mengikut undang-undang boleh dikenakan tanpa ragu sebagai peringatan kepada warga kerja CIDB.

Dengan pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (SPAR) ini, maka CIDB akan berusaha untuk mencapai objektif-objektif pengurusan rasuah berikut:

  1. Memastikan staf CIDB menghadiri kursus dan latihan berkaitan kesedaran mengenai kesalahan-kesalahan yang terdapat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, usaha-usaha pencegahan rasuah, salahguna kuasa, dan penyelewengan;
  2. Membentuk staf yang berintegriti dan bebas rasuah sebagai dasar yang kukuh bagi mencapai matlamat CIDB untuk memberikan perkhidmatan yang cekap secara berterusan;
  3. Memastikan semua aduan berhubung kelakuan tidak wajar yang diterima diuruskan dengan cekap dan telus mengikut prosedur yang telah dibangunkan;
  4. Memastikan penerimaan hadiah diisytihar mengikut pekeliling yang berkuat kuasa.

Sebarang aduan boleh dilaporkan menerusi saluran berikut:

  1. Hadir sendiri untuk berjumpa atau menghubungi Pegawai Seksyen Integriti di Bahagian Tadbir Urus & Integriti; atau
    Nur Hafizah Mohd Nor

    Pengurus
    Bahagian Tadbir Urus & Integriti
    Tel03 – 4047 7029
    Hp019 – 565 0097

    Norhasna Ahmad Adnan

    Penolong Pengurus
    Bahagian Tadbir Urus & Integriti
    Tel03 – 4047 7225
    Hp012 – 568 1464

  2. Emelkan aduan ke alamat emel aduan-integriti@cidb.gov.my; atau
  3. Menghantar surat ke alamat (Surat layang atau surat tanpa penama adalah diterima):
    CIDB Malaysia
    Bahagian Tadbir Urus & Integriti, Tingkat 24
    Menara Dato’ Onn, PWTC
    No. 45, Jalan Tun Ismail
    50480, Kuala Lumpur

Klik SINI untuk muat turun Manual Anti-Rasuah