Guideline for Contractor Registration

Berkuatkuasa mulai 20 Julai 1995, adalah mandatori untuk semua kontraktor samada tempatan atau asing untuk berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (LPIPM) atau CIDB dibawah Seksyen 25 Akta 520 (Pindaan 2011) sebelum mengakujanji dan menyempurnakan apa-apa kerja pembinaan di Malaysia kecuali mereka yang diberi pengecualian di bawah Seksyen 40(1) Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Akta 520).

Mana-mana kontraktor yang melanggar Seksyen 25 apabila disabitkan, boleh di denda tidak kurang daripada sepuluh ribu ringgit tetapi tidak melebihi satu ratus ribu ringgit dibawah Seksyen 29. Dibawah Seksyen 30 Lembaga boleh melalui notis bertulis yang disampaikan kepada kontraktor untuk berhenti daripada memulakan atau meneruskan kerja pembinaan atau mengakujanji untuk menjalankan atau menyiapkan kerja pembinaan.

Pemegang SPKK layak menyertai mana-mana perolehan kerajaan dalam bidang pembinaan mengikut kelayakan yang ditetapkan seperti yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil.6 Tahun 2012 dan Arahan Perbendaharaan pindaan Bil. 3 tahun 2012 oleh Kementerian Kewangan Malaysia. Pemohon perlu memastikan mereka memiliki PPK bagi melayakkan syarikat memohon SPKK. Walaubagaimanapun kelulusan permohonan adalah tertakluk kepada syarat-syarat pendaftaran SPKK.

Pendaftaran Kontraktor Konsortium atau Usahasama adalah gabungan dua syarikat atau lebih yang telah dilantik untuk melaksanakan sesuatu projek pembinaan. Gabungan syarikat tersebut tidak didaftarkan perniagaan/ diperbadankan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Syarikat tersebut perlu berdaftar dengan CIDB berdasarkan projek yang dianugerah. Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan hanya sah untuk melaksanakan projek seperti yang tertera di dalam Perakuan Pendaftaran tersebut sahaja. Secara amnya, terdapat dua (2) jenis pendaftaran kontraktor konsortium atau usahasama dengan CIDB iaitu:-

  1. Perakuan Pendaftaran Kontraktor Konsortium/ Usahasama Tempatan.
  2. Perakuan Pendaftaran Kontraktor Konsortium/ Usahasama Asing.

Syarikat yang diperbadankan di Malaysia atau di luar negara serta mempunyai pegangan ekuiti rakyat asing atau syarikat asing melebihi tiga puluh peratus (30%) dan ke atas melainkan pegangan ekuiti tersebut dinyatakan di dalam Lampiran 8.

Setiap permohonan mesti disertakan bersama dengan yuran proses. Bayaran yuran proses boleh dibuat secara atas talian (online) melalui sistem CIMS. Berikut adalah nilai yuran proses yang perlu dijelaskan mengikut jenis permohonan yang dibuat seperti di Jadual A.

Permohonan hanya boleh dikemaskini dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh pertama kali permohonan dibuat. Permohonan yang tidak dihantar (klik butang hantar) dalam tempoh tersebut akan terbatal secara automatik.

Manakala tempoh bayaran yuran proses perlu dijelaskan dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh permohonan dihantar (klik butang hantar). Sekiranya tiada sebarang bayaran diterima dalam tempoh tersebut permohonan akan terbatal secara automatik.

Permohonan akan diproses dalam tempoh seperti yang telah ditetapkan. Berikut adalah tempoh proses yang telah ditetapkan mengikut jenis permohonan seperti di Jadual C.

Jumlah yuran pendaftaran yang dikenakan akan dimaklumkan melalui surat kelulusan permohonan. Pembayaran yuran boleh dibuat secara atas talian (online) melalui sistem CIMS. Yuran tersebut hendaklah dijelaskan dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh surat kelulusan dikeluarkan. Kelulusan permohonan akan terbatal dengan sendirinya tanpa sebarang notis sekiranya yuran pendaftaran gagal dijelaskan dalam tempoh tersebut. Pemohon dikehendaki untuk mengemukakan permohonan semula sekiranya ingin mendapatkan semula Perakuan Pendaftaran Kontraktor setelah permohonan tersebut terbatal. Berikut adalah Bayaran Yuran Pendaftaran seperti di Jadual D.

Pembayaran boleh dibuat secara atas talian (online) melalui sistem CIMS. Pembayaran menggunakan cek syarikat atau cek peribadi tidak diterima. Semua yuran yang dibayar tidak akan dikembalikan.

  1. Kontraktor Tempatan
    1. Syarat Am
      1. Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan tidak boleh dipindah milik.
      2. Lembaga mempunyai hak mengkaji semula gred pendaftaran kontraktor dari masa ke semasa
    2. Tanggungjawab dan Obligasi Kontraktor
      1. Kontraktor hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 (”AKTA 520”) (PINDAAN 2011) peraturan-peraturan yang dibuat dibawahnya dan apa-apa terma, syarat-syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Lembaga dari masa ke semasa.
      2. Kontraktor tidak boleh menyertai mana-mana tender atau melaksanakan apa-apa kerja pembinaan selepas habis tempoh Perakuan ini dan sehingga ianya diperbaharui.
      3. Kontraktor tidak boleh mengakujanji untuk membina apa-apa projek pembinaan yang melebihi nilai kerja pembinaan yang dinyatakan di bawah gred pendaftaranya dan tidak boleh melaksanakan apa-apa projek pembinaan di luar kategori pendaftarannya.
      4. Kontraktor hendaklah mengemukakan maklumat maklumat mengenai apa-apa kerja pembinaan atau projek dalam tempoh empat belas (14 hari) selepas di awad.
      5. Kontraktor hendaklah mengemukakan apa-apa maklumat yang dikehendaki oleh Lembaga dari masa ke semasa.
      6. Kontraktor hendaklah mempamerkan Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Lembaga atau salinan Perakuan Pendaftaran yang diperakui oleh Lembaga di tempat perniagaannya.
      7. Kontraktor hendaklah mempamerkan nombor pendaftaran atas papan tanda di setiap tapak pembinaannya.
      8. Kontraktor hendaklah mematuhi prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Buku Kod Etika Kontraktor CIDB.
      9. Kontraktor hendaklah melantik perkerja binaan mahir dan penyelia tapak yang diakreditasi dan diperakui oleh Lembaga.
      10. Semua pekerja ditapak bina hendaklah mempunyai Kad Personel Binaan yang masih sah.
      11. Kontraktor hendaklah memastikan produk atau bahan binaan yang digunakan adalah berdasarkan kehendak MS (Malaysian Standard) atau standard lain yang diluluskan oleh pihak berkuasa dalam Malaysia dan diperakukan oleh Lembaga.
    3. Tindakan Tatatertib

      Mengikut Peraturan 15, Peraturan-peraturan Pendaftaran Kontraktor (Industri Pembinaan) 1995, Lembaga boleh membatal atau menggantung pendaftaran mana-mana kontraktor berdaftar dibawah Peraturan-Peraturan ini jika :

      1. Pemegang Perakuan telah dihukum sebagai bankrupt; atau
      2. Petisyen penggulungan berhubung dengan kontraktor telah diserahkan; atau
      3. Pemegang Perakuan gagal mematuhi mana-mana peruntukan Akta atau peraturanperaturan pendaftaran; atau
      4. Pemegang Perakuan telah memperoleh Perakuan dengan membuat perakuan atau penyataan palsu secara bertulis atau sebaliknya; atau
      5. Pemegang Perakuan meninggalkan kerja pembinaan yang sedang dijalankan; atau
      6. Pemegang Perakuan didapati bersalah oleh mahkamah atau mana-mana badan penyiasat yang ditubuhkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis kerana cuai dalam pelaksanaan kerja-kerja pembinaan yang dilaksanakan; atau
      7. Pemegang Perakuan telah melanggar atau gagal mematuhi; atau telah membantu pelanggaran mana-mana terma, syarat-syarat atau batasan yang dikenakan oleh CIDB.

      Nota:

      1. Kontraktor yang pendaftarannya telah dibatalkan atau digantung tidak dibenarkan untuk menyertai mana-mana tender baru atau meneruskan mana-mana kerja pembinaan.
      2. Pihak CIDB boleh dalam keadaan tertentu membenarkan kontraktor yang Perakuan Pendaftarannya telah dibatalkan untuk menyiapkan kerja semasanya.
      3. Tindakan tatatertib dan keputusan yang dibuat ke atas PPK akan menjejaskan status SPKK.
  2. Kontraktor Asing
    1. Syarat Am
      1. Perakuan Pendaftaran Kontraktor Asing yang dikeluarkan ini tidak boleh dipindahmilik.
      2. Perakuan ini membenarkan pemegang Perakuan itu menjalankan hanya projek yang dinyatakan dalam Perakuan ini.
      3. Perakuan ini tidak membenarkan pemegang Perakuan itu menyertai suatu tender bagi apa-apa kerja pembinaan atau untuk menjalankan apa-apa kerja pembinaan yang lain.
    2. Tempoh Sah Laku Perakuan

      Perakuan ini sah sehingga tarikh tamat tempoh projek yang dinyatakan dalam Perakuan ini.

    3. Tanggungjawab dan Obligasi Kontraktor
      1. Kontraktor Asing hendaklah mematuhi peruntukan-peruntukan Akta (Pindaan 2011) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia 1994 ( ”Akta”), Peraturanperaturan yang dibuat dibawahnya dan apa-apa terma, syarat atau sekatan yang dikenakan oleh Lembaga dari semasa kesemasa.
      2. Sekiranya tarikh penyiapan projek itu dilanjutkan, kontraktor hendaklah memohon kepada Lembaga dalam tempoh empat belas hari sebelum habis tempoh untuk melanjutkan Perakuan Pendaftaran. Dokumen sokongan hendaklah disertakan.
      3. Kontraktor Asing hendaklah mempamerkan Perakuan Pendaftaran yang dikeluarkan oleh Lembaga atau suatu salinan sah diperakui Perakuan itu oleh Lembaga di tempat perniagaan.
      4. Kontraktor Asing itu hendaklah mempamerkan nombor pendaftarannya atas papan tanda disetiap tapak pembinaan.
    4. Tindakan Tatatertib

      Pendaftaran Kontraktor Asing akan dibatal, digantung atau jika –

      1. Kontraktor Asing itu tidak mematuhi kehendak mana-mana undang-undang bertulis lain;
      2. Kontraktor Asing itu telah dihukum menjadi bankrap;
      3. Petisyen penggulungan berhubung dengan kontraktor asing itu telah diserahkan;
      4. Kontraktor asing itu telah melanggar atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan Akta;
      5. Kontraktor asing itu telah mendapat Perakuan dengan membuat atau menyebabkan dibuat apa-apa akuan, permerakuan atau representasi palsu atau fraud sama ada secara bertulis atau selainnya;
      6. Kontraktor asing itu telah meninggalkan apa-apa kerja pembinaan yang diakujanji tanpa apa-apa sebab yang munasabah;
      7. Kontraktor asing itu didapati cuai oleh mahkamah atau mana-mana lembaga penyiasatan yang ditubuhkan dibawah mana-mana undang-undang bertulis berkaitan dengan mana-mana kerja pembinaan yang telah diakujanji; atau
      8. Kontraktor asing telah melanggar, apa-apa terma dan syarat Tanggungjawab dan Obligasi Kontraktor seperti yang dinyatakan dalam para 2.iii.

Cetakan Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK) / Sijil Perolehan Kerja Kerajaan (SPKK), Sijil Taraf Bumiputera (STB)
Sijil hendaklah dicetak sendiri oleh pemohon secara atas talian (online) sistem CIMS. Tiada lagi serahan sijil dikaunter CIDB Negeri/ Cawangan. Bagi permohonan untuk medapatkan sijil pendua atau cetakan semula sijil disebabkan hilang / rosak, pemohon boleh mencetak sendiri melalui online tanpa sebarang caj bayaran

  • Sijil maya Perakuan Pendaftaran Kontraktok (PPK) hanya boleh dicetak melalui atas talian (online) setelah yuran pendaftaran dijelaskan
  • Sijil Perolehan Kerja Kerajan (SPKK) dan Sijil Taraf Bumiputera (STB) hanya boleh dicetak melalui atas talian (online) setelah permohonan diluluskan. Tiada yuran pendaftaran dikenakan ke atas SPKK dan STB

Dibawah adalah contoh sijil Maya PPK, SPKK dan STB yang dicetak melalui atas talian (online).Bagi memastikan ciri-ciri keselamatan didalam sijil maya tersebut dipelihara, setiap sijil akan diletakkan dengan QR Code. Maklumat didalam QR Code boleh dibaca dengan membuat imbasan menggunakan telefon bimbit yang mempunyai aplikasi QR Code Reader.

Pemohon perlu menyimpan dokumen asal dalam tempoh 3 tahun dari tarikh permohonan dibuat bagi tujuan Semakan Pematuhan Kontraktor , CCA (Contractor Compliance Assurance). Berikut adalah dokumen sokongan yang perlu dimuatnaik mengikut jenis permohonan yang dibuat seperti di Jadual B.

  1. Pembukaan Pendaftaran Baharu Kontraktor G1 Bumiputera

    Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pembukaan semula pendaftaran baharu Kontraktor G1 Bumiputera pada 16 Ogos 2019 yang membolehkan kontraktor yang berkelayakan memohon untuk mendaftar sebagai Kontraktor G1 Bumiputera mulai 1 September 2019. Keputusan Kerajaan untuk pembukaan semula pendaftaran baharu Kontraktor G1 Bumiputera bertujuan memberi peluang kepada generasi baharu termasuk belia lepasan pusat latihan kemahiran yang mempunyai latar belakang teknikal untuk mula berkecimpung dalam industri pembinaan. Langkah ini dapat melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berdaya maju dan mampu memainkan peranan utama dalam industri pembinaan.

  2. Brosure Pendaftaran