Work Declaration

  1. Kewajipan Untuk Mengisytiharkan Kerja Pembinaan

    Setiap kontraktor dikehendaki mengisytiharkan dan mengemukakan kepada CIDB, mengikut cara yang ditetapkan oleh CIDB, apa-apa kontrak kerja pembinaan yang telah diawardkan kepadanya.

  2. Definisi “Kontraktor”

    Kontraktor merupakan seseorang yang menjalankan atau menyiapkan atau mengaku janji untuk menjalankan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan. Mana-mana orang yang telah di awardkan atau telah menyempurnakan apa-apa kontrak bagi kerja pembinaan, atau telah mengaku janji untuk menjalankan, menguruskan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan, atau telah menjalankan, menguruskan atau menyiapkan apa-apa kerja pembinaan adalah disifatkan sebagai seorang kontraktor melainkan jika dibuktikan sebaliknya.

  3. Definisi “Kerja Pembinaan”

    Kerja pembinaan merujuk kepada pembinaan, penyambungan, pemasangan, pembaikan, penyenggaraan, pembaharuan, pemindahan, pengubahsuaian, pengubahan, perombakan atau perobohan:

    1. mana-mana bangunan, binaan, bangunan besar, struktur, dinding, pagar atau cerobong sama ada dibina keseluruhannya atau sebahagiannya di atas atau di bawah paras bumi;
    2. mana-mana jalan, kerja pelabuhan, landasan kereta api, laluan kabel, terusan atau padang terbang;
    3. mana-mana saliran, tali air atau kerja pengawalan sungai;
    4. apa-apa kerja elektrik, mekanikal, air, gas, petrokimia atau telekomunikasi; atau
    5. mana-mana jambatan, jejambat, empangan, takungan, kerja tanah, talian paip, salur najis, akueduk, pembentung, pemacu, syaf, terowong atau kerja penebusgunaan, dan termasuklah:-
      • apa-apa kerja yang membentuk bahagian yang penting dan integral atau adalah persediaan atau sementara bagi kerja- kerja yang diperihalkan dalam perenggan (I) hingga (V), termasuklah pembersihan tapak, penyelidikan dan pembaikan tanah, pemindahan tanah,penggalian, peletakan batu asas, pemulihan dan landskap tapak; atau
      • pemerolehan bahan binaan, kelengkapan atau pekerja yang semestinya bagi mana-mana kerja yang diperihalkan dalam perenggan (I) hingga (V).
  4. Jumlah Kontrak

    Jumlah kontrak berhubung dengan sesuatu projek pembinaan ialah jumlah nilai semua kerja, bekalan dan perkhidmatan untuk membuat dan menjadikan kerja pembinaan dalam projek pembinaan itu berfungsi sepenuhnya meliputi item-item berikut:

    1. Kos pemerolehan bahan, kelengkapan, pekerja;
    2. Kos peralatan, mesin dan perabot yang dipasang yang dibeli di dalam negara atau di luar negara;
    3. Kos pengurusan projek;
    4. Kos pembiayaan projek (Financial Costs);
    5. Wang Kos Prima;
    6. Wang Peruntukan Sementara;
    7. Pengurusan Fasiliti (Facility Management);
    8. Yuran Ikhtisas (Professional Fees);
    9. Kos apa-apa kerja yang membentuk bahagian yang penting atau adalah persediaan atau sementara bagi kontrak kerja yang dilaksanakan; dan
    10. Apa-apa cukai yang terkandung di dalam kontrak
  5. Pengisytiharan dianggap benar

    Segala pengisytiharan kerja pembinaan yang dibuat melalui sistem CIMS dianggap benar. Pemilik dan Pengarah syarikat akan bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengisytiharan yang dibuat dan boleh dikenakan apa-apa tindakan sekiranya CIDB mendapati terdapat sebarang kesalahan di dalam pengisytiharan tersebut.

  6. Dokumen Pengisytiharan

    Pengisytiharan apa-apa kerja pembinaan hendaklah disertakan dokumen yang mengandungi butir-butir penuh berkenaan dengan penyempurnaan kerja pembinaan tersebut melalui dokumen dokumen berikut:

    1. Surat Penerimaan/ Surat Award (Letter of Award); atau
    2. Kontrak yang ditandatangai kedua-dua pihak; atau
    3. Apa-apa dokumen yang berkaitan dengan penerimaan atau penyempurnaan kontrak atas kerja pembinaan

    Contoh dokumen pengisytiharan kerja pembinaan adalah seperti berikut:

    1. Surat penerimaan atau surat award daripada klien; atau
    2. Dokumen kontrak yang ditandatangani; atau
    3. Insuran Contractor's All Risk (CAR); atau
    4. Butir-butir dan maklumat berkenaan dengan balasan berhubung dengan penyempurnaan apa-apa kontrak ke atas apa-apa kerja pembinaan yang terkandung dalam apa-apa dokumen berkaitan.
    5. Akuan Berkanun
  7. Tempoh Masa Pengisytiharan Kerja Pembinaan

    Kontraktor dikehendaki mengisytiharkan dan memaklumkan kepada CIDB apa-apa kerja pembinaan dalam tempoh 14 hari selepas diawardkan kontrak kerja pembinaan atau 14 hari sebelum melaksanakan kerja pembinaa, mana-mana yang terdahulu.

  8. Kaedah Untuk Mengisytiharkan Kerja Pembinaan

    Kontraktor dikehendaki mengisytiharkan kerja pembinaan secara atas talian sepenuhnya melalui Sistem CIMS (https://cims.cidb.gov.my) dan mengemukakan bersama dokumen sokongan seperti yang dinyatakan pada para 6. Sebarang pengisytiharan yang diterima secara manual adalah dianggap tidak sah