Program Perantis BIM Berkesan Membentuk Kompetensi Industri 4.0

image

Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh industri pembuatan German pada tahun 2011. Ia bertujuan untuk meningkatkan daya saing melalui peningkatan produktiviti. Secara umumnya, ia melibatkan integrasi teknologi digital, automasi dan kepintaran buatan. Asas perlaksanaan IR4.0 terletak kepada ketersediaan data dan maklumat digital. Untuk industri pembinaan pula, Pemodelan Bangunan Bermaklumat (BIM) merupakan salah satu teras utama di dalam IR4.0. Ini kerana ia berupaya untuk menyediakan data digital bagi kegunaan IR4.0.

Bagi mendepani IR4.0, Lembaga Pambangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) perlu menyediakan pekerja-pekerja masa hadapan yang kompeten untuk menggunakan teknologi BIM. Untuk itu, CIDB telah melaksanakan Program Perantis BIM (PPB) yang membuka penyertaan kepada semua belia yang mempunyai ijazah atau diploma. Ia dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan UMP Holdings Sdn. Bhd. (UMPH), anak syarikat penuh milik Universiti Malaysia Pahang.

Model PPB telah dibangunkan oleh pihak Unit BIM UMPH yang diketuai oleh Dr Ahmad Tarmizi Haron, pensyarah kanan Fakulti Kejuruteraan Teknologi Awam yang juga merupakan Subject Matter Expert BIM CIDB. PPB mengadaptasikan konsep Duale Ausbildung (Dual Training System) yang dipraktikkan di German. Konsep ini secara umumnya menggabungkan teori dan latihan praktik dalam dua suasana berbeza; kelas formal dan situasi kerja sebenar. Adaptasi yang dibuat adalah dengan memasukkan latihan kompetensi modeller BIM CIDB (5 Modul) dan modul tersuai khas (customised training) untuk memenuhi keperluan piawai JKR.

Di dalam program ini, kesemua kerja-kerja pemodelan teknikal dilaksanakan oleh perantis-perantis. Mereka akan dibantu oleh pakar-pakar BIM UMPH akan bertindak sebagai jururunding, penyelaras, jurulatih dan fasilitator. Pihak JKR merupakan klien yang akan menyelia dan menyemak hasil kerja yang dihasilkan oleh perantis-perantis. Untuk setiap sesi, tempoh masa selama 6 bulan diberikan untuk membangunkan model digital dan melaksanakan koordinasi BIM. Sebanyak 13 rekabentuk Pre-Approved Plan JKR disedia. Ia melibatkan 4 disiplin yang utama iaitu Arkitek, Struktur, Mekanikal dan Elektrikal.

Pada penghujung program, karnival kerjaya akan diadakan. Ia betujuan untuk membantu peserta-peserta mendapatkan pekerjaan berkaitan BIM dan pada masa yang sama, membolehkan syarikat-syarikat mendapatkan arkitek atau jurutera yang mahir dengan BIM. Berdasarkan kepada rekod sesi yang terdahulu, kesemua 23 perantis telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam tempoh sebulan selepas menamatkan program. Malah, lebih separuh daripada perantis, telah ditawarkan pekerjaan semasa sedang mengikuti program.

Secara rumusannya, program ini berjaya memenuhi jangkaan pelbagai pemegang taruh. Antaranya ialah perantis-perantis berjaya memperolehi kemahiran, pihak syarikat memperolehi pekerja yang berkemahiran tinggi dan pihak JKR sendiri sebagai klien memperolehi model digital BIM yang memenuhi keperluan piawai kerajaan.