cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

Akta 520 dan Pindaan

Ditubuhkan pada tahun 1994, Akta CIDB 520 adalah satu tindakan untuk membentuk Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).


Ia dilaksanaan untuk menawarkan kepakaran CIDB yang berkaitan dengan industri pembinaan tempatan dan lain-lain perkara yang berkaitan.


Dalam pindaan Akta 520, kualiti dan keselamatan pembinaan merupakan tunggak utama yang diwartakan penguatkuasaannya oleh Menteri Kerja Raya Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof yang berkuatkuasa 1 Jun 2015.


Pindaan Akta tersebut melibatkan tiga perkara utama iaitu:

  1. Peningkatan kualiti pembinaan melalui pendaftaran personel binaan, pemerakuan kemahiran dan kompetensi
  2. Jaminan kualiti bahan binaan melalui penetapan dan pematuhan kepada standard; dan
  3. Perletakan tanggungjawab mengurus dan memastikan keselamatan bangunan dan kerja pembinaan semasa atau selepas kerja pembinaan ke atas kontraktor dan pengurus tapak.

Pendaftaran Personel Binaan

Pindaan Baru Akta CIDB mewajibkan Pendaftaran Personel Binaan, bagi membolehkan CIDB memperolehi data yang mencukupi dan tepat untuk membuat unjuran mengenai keperluan tenaga kerja, kesesuaian bidang latihan dengan keperluan negara dan tahap kemahiran tenaga kerja yang sedia ada.


Pindaan tersebut juga mewajibkan kesemua penyelia tapak binaan atau pekerja binaan mahir di dalam tred yang disenaraikan di dalam Jadual ketiga, Akta 520 diakreditkan, iaitu mendapatkan pentauliahan sebagai perakuan kepada bidang kemahiran mereka. Ini kerana hanya personel binaan yang telah diperakui kemahirannya dapat menghasilkan kerja-kerja yang berkualiti, kompeten dan berproduktiviti tinggi. Ini seterusnya dapat menaikkan imej personel binaan agar ianya lebih menarik sebagai kerjaya pilihan.


Sesiapa yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa pendaftaran dan yang sah dan tanpa diakreditkan, boleh dikenakan penati tidak melebihi RM5,000. Penalti yang sama juga dikenakan kepada sesiapa yang mengambil pekerja yang tidak diakreditkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan.

Jaminan Kualiti Bahan Binaan

Perkara kedua yang yang ditekankan di dalam pindaan Akta 520 ini adalah pematuhan terhadap standard bahan binaan yang telah ditetapkan. Ini menjadikan CIDB salah satu agensi kerajaan yang memantau dan menguatkuasakan bahan-bahan binaan yang berada di pasaran.


Pematuhan standard juga dapat mengurangkan lambakan bahan binaan yang tidak berkualiti di Malaysia. Tanpa kawalan melalui perundangan tempatan (domestic laws), negara-negara pengeluar boleh melambakkan bahan-bahan binaan mereka yang berharga murah dan berkualiti rendah di Malaysia. Walaupun Malaysia mempunyai undang-undang anti-lambakan tetapi tiada kerangka perundangan (legal framework) untuk mengawal standard dan memantau mutu bahan binaan.


Pada masa kini, Kastam DiRaja Malaysia melalui Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 1998 di bawah Akta Kastam 1967 telah melarang import bahan binaan yang tidak mematuhi standard yang ditetapkan oleh CIDB. Walau bagaimanapun, peruntukan ini tidak terpakai bagi bahan binaan keluaran tempatan. Ekoran daripada dua standard yang berbeza ini, pindaan ini penting untuk mengelakkan Malaysia daripada melanggar perjanjian World Trade Organization (WTO) kerana memberikan layanan yang berbeza terhadap barangan import dan tempatan.


Kesemua bahan binaan yang kualitinya di kawal selia di bawah Pindaan Akta 520 adalah disenarai di dalam Jadual Keempat. Sesiapa yang didapati menggunakan bahan binaan yang dinyatakan dalam Jadual Keempat tanpa pemerakuan kualiti daripada CIDB, apabila disabitkan, boleh didenda tidak kurang daripada RM10,000 tetapi tidak melebihi RM500,000.

Keselamatan Bangunan dan Kerja Pembinaan

Melalui Pindaan Akta 520 ini, keselamatan bangunan dan kerja pembinaan semasa ataupun selepas pembinaan diletakkan di bawah tanggungjawab kontraktor. Undang-undang ini terpakai kepada semua kontraktor, sama ada ia berdaftar atau tidak dengan CIDB. Selain itu, individu yang mengurus atau mengawal selia tapak bina juga wajib memastikan tapak pembinaan dan kemasukan ke tapak pembinaan adalah selamat dan tidak membahayakan nyawa dan kesihatan awam.


Antara lain, pindaan akta ini memperuntukkan bahawa jika sesuatu kerja pembinaan di dapati boleh membahayakan nyawa dan kesihatan, CIDB diberi kuasa untuk mengarahkan kerja-kerja pembinaan diberhentikan, menjalankan pemeriksaan terperinci di tapak binaan dengan kos kepada kontraktor dan mengarahkan pembinaan apa-apa struktur yang perlu dan juga memusnahkan atau mengarahkan struktur yang didapati cacat dimusnahkan.


Mereka yang didapati bersalah apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit dan berkenaan dengan ketidakpatuhan yang berterusan, dikenakan denda tambahan tidak melebihi sepuluh ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari yang kesalahan itu berterusan selepas sabitan.


Mana-mana kontraktor yang melanggar kewajipannya sehingga menyebabkan kematian, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali.


Selain daripada itu, pindaan Akta 520 memperuntukkan penalti yang lebih tinggi untuk kontraktor yang melakukan kerja-kerja pembinaan tanpa perakuan kontraktor yang sah. Penalti yang dikenakan adalah daripada RM10,000 hingga RM100,000, berbanding maksimum RM10,000 sebelum ini. Bagi kontraktor yang tidak mengishtiharkan projek-projek pembinaan, mereka boleh di denda tidak melebihi RM50,000 dan kontraktor yang tidak membayar levi pula boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau empat kali jumlah levi yang boleh dikenakan, yang mana lebih tinggi.

Muat Turun Akta 520

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04