cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

Sr. Sariah On Beyond 2020 Push Boundaries Set Higher Benchmarks

 

Kuala Lumpur: Puan Sr. Sariah Abdul Karib, Pengurus Besar Kanan Sektor Korporat dan Perniagaan, Lembaga Pembangunan Industri Binaan (CIDB), Malaysia, telah melalui tempoh empat hari yang sungguh sibuk.

 

Beliau melakukan rondaan di Asean Super 8 pada ICW 2019 sambil memantau dan membuat catatan tentang acara yang berlangsung di bawah tema baharu dan buat julung kalinya di lokasi pameran yang baharu.

 

“Maklum balas yang saya peroleh setelah berbual sendiri dengan para pengunjung rata-rata adalah positif, di mana para peserta berasa amat sukacita dengan kualiti para penceramah di Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) dan pameran yang diadakan, termasuk pelbagai seminar percuma mahupun berbayar,” kata Sariah, wanita yang menjadi salah satu tonggak utama di sebalik penganjuran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) CIDB.

 

Tahun ini merupakan tahun di mana Sariah bercadang untuk bersara. Jika beliau memilih untuk melakukan sedemikian, untuk akhirnya berehat daripada persekitaran kerja bertekanan tinggi, untuk berkebun dan tenggelam dalam kedamaian alam semula jadi, sesungguhnya beliau lebih daripada berhak untuk melakukanya.

 

Mengulas tentang kemungkinan ini merupakan ICW terakhir beliau “aktif”, wanita yang berpenampilan penuh anggun ini berkongsi pemerhatian beliau tentang Asean Super 8 dan ICW 2019.

 

“Bagi saya apa yang penting adalah menyampaikan nilai kepada orang ramai. Mereka pasti telah beroleh manfaat yang sepatutnya dan nilai yang dapat mereka hargai setelah berkunjung ke acara kita sehingga mereka ingin kembali untuk kesekian kalinya. Ini dicapai hasil kerja keras seawal peringkat perancangan lagi.

 

“Pada pandangan saya, penganjuran ini merangkumi 80% perancangan dan 20% pelaksanaan. Saya sering berpesan kepada pasukan saya untuk meluaskan lagi sempadan pencapaian mereka dan jangan mudah berpuas hati.”

 

Edisi ke 21 ICW anjuran CIDB ini telah menghimpunkan para penggerak industri pembinaan untuk mempamer, belajar, menjalin kerjasama dan berkongsi idea inovatif dalam acara pembinaan terbesar di rantau ini.

 

ICW merupakan komitmen CIDB ke arah menjadikan industri pembinaan Malaysia sebagai peneraju global dengan mengembleng sinergi antara tenaga kerja berkemahiran tinggi dan pelbagai treknologi pembinaan moden.

 

“2019 telah berjaya membawakan lapan pameran di bawah satu bumbung buat julung kalinya, justeru, meluaskan lagi liputan dan rangkuman keseluruhan spectrum industri pembinaan. Dengan tempat pameran dan penambahan tarikan baharu, pada pendapat saya, kami kali ini telah berjaya menawan selera dan menarik minat pengunjung.”

 

Sariah mengiktiraf sumbangan rakan kongsi mereka, UBM Malaysia yang mencipta peluang pertumbuhan perniagaan dalam pelbagai industri bagi Asean dan negara-negara lain seluruh dunia. Pada kali ini, kerjasama UBM dengan CIDB dalam ICW terbentuk di bawah nama Asean Super 8 ICW 2019.

 

“Hingga kini UBM telah menampilkan prestasi cemerlang dan kami berhasrat untuk meneruskan kerjasama unggul ini dengan lebih banyak jalinan permuafakatan pada masa depan bagi mencapai kejayaan lebih besar.”

 

Asean Super 8 dan ICW 2019 telah menarik penyertaan 500 syarikat yang meliputi 350 ruang pameran manakala jumlah pengunjung pula melebihi 20,000, jauh lebih ramai berbanding 14,000 pengunjung pada 2018. Seminar-seminar yang dianjurkan pula – baik percuma atau berbayar – telah berjaya menarik kira-kira 6,000 orang peserta, tiga kali ganda lebih ramai berbanding tahun lepas.

 

“Cabaran terbesar bagi tahun depan dan tahun-tahun seterusnya adalah untuk terus menambah nilai; untuk memberi nilai kepada peserta dan sentiasa meningkatkannya. Ini, bagi saya, masih mempunyai banyak ruang untuk ditambah baik.

 

“Saya menggesa agar lebih banyak kerjasama dilakukan dengan pemegang kepentingan – pertubuhan, agensi kerajaan, para penggubal dasar, universiti – untuk tampil dan bekerjasama dengan kami. Pada dasarnya, perkongsian amalan terbaik dalam apa jua aktiviti, baik dari sudut konsep, idea atau dasar baharu, adalah menjurus kepada peningkatan pengetahuan.”

 

Sariah juga menerangkan bahawa setelah meneliti maklum balas para peserta pameran tahun lepas, CIDB mengambil keputusan untuk tidak lagi mengadakan acara-acara tertentu seperti Pameran Kerjaya dan Wanita dalam Pembinaan [dengan KUBINA] semasa ICTC yang bermatlamat untuk menggalakkan amalan terbaik antarabangsa dalam pembinaan sejajar dengan objektif umum Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP).

 

“Kami memutuskan untuk mengadakan Pameran Kerjaya sebaik sebelum pertandingan kemahiran dan ini kami lihat lebih bermakna. Kami turut menyedari bahawa menggabungkan segmen Wanita dalam Pembinaan dengan ICTC bukanlah suatu idea yang baik.

 

“Sebagai ganti, kami telah menjemput beberapa penceramah wanita berkaliber tinggi untuk naik ke pentas semasa ICTC tahun ini, malah untuk mengendalikan keseluruhan sesi tersebut. Bagi saya ini merupakan satu pencapaian yang sungguh cemerlang.”

 

Sariah sememangnya patut berasa bangga dengan mutu kesemua penceramah yang tampil dalam ICTC dan seminar-seminar yang diadakan.

 

Selari dengan tema CIDB, Beyond 2020, satu siri topik telah dikupas oleh para penginovasi dan pakar terkemuka contohnya Inovasi dan Produktiviti dalam Pembinaan, Bandaraya Pintar dan Keselamatan Pembinaan.

 

“Saya berasa amat sukacita, contohnya apabila mendengar pakar-pakar industri bercakap tentang kemampanan menggunakan buluh sebagai bahan binaan atau apabila mereka menegaskan bahawa “Kita Tidak Mampu Membina Sebuah Lagi Planet”.

 

“Saya juga gembira kerana dapat menyertakan para pemenang tahun lepas sebagai penceramah pada kali ini dan pada pendapat saya mereka telah membuat pembentangan yang cukup baik. Sambutan yang diperoleh adalah di luar dugaan dan kami berasa amat gembira dengan pencapaian acara ini secara keseluruhan.

 

“Walaupun peserta dikenakan bayaran RM500, namun kami tetap berjaya menarik kira-kira 550 orang peserta yang pada pandangan saya, memperoleh nilai yang jauh lebih tinggi berbanding wang yang mereka keluarkan.”

 

Sariah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan kongsi CIDB iaitu UBM serta kesemua 73 rakan kongsi dalam semua seminar, pameran dan pertandingan yang diadakan pada tahun ini.

 

“Kami amat gembira dengan segala yang dicapai oleh ICW tahun ini dan yakin akan berupaya untuk menampilkan sesuatu yang lebih besar pada tahun depan, dengan lebih banyak nilai tambah.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.cidb.gov.my

 

[26 Mac 2019)

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04