cidbcareline 01 
cidb careline clickv2 01

Change The Way You Think and Approach Projects

 

 

Kuala Lumpur: Adalah amat mengujakan untuk mengetahui siapa sebenarnya para “jurutera alam sekitar”.

 

Tatkala Profesor Patrick Bellew tampil ke pentas semasa Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) yang diadakan di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada ICW 2019, para peserta telah pun dimaklumkan tentang penglibatan beliau yang sekian lama dalam industri, khususnya sebagai pakar bangunan hijau.

 

Pengarah yang juga pengasas Atelier Ten, Patrick adalah salah seorang daripada Royal Designer United Kingdom dan merupakan Jurutera Perkhidmatan Bangunan Bertauliah dengan pengalaman selama lebih 30 tahun dalam mereka bentuk bangunan dan sistem berprestasi tinggi. Dengan pengalaman luas dalam penyepaduan sistem alam sekitar dan bangunan berseni bina, Patrick memiliki kepakaran khusus dalam teknologi penyimpanan tenaga udara panas massa, reka bentuk bangunan berasaskan alam sekitar dan sistem penyaman udara bangunan berkecekapan tinggi.

 

Merujuk kepada buku tulisan Davis Wallace-Wells ‘The Uninhabitable Earth’, Bellew memulakan pembentangan dengan berkata, “Malah masa depan jangka pendek kita pun dilihat semakin menakutkan.” Dalam buku yang hangat di pasaran itu penulis memulakan pena dengan mengulas tentang skala dan impak kemerosotan alam sekitar sebagai “amat buruk, lebih buruk daripada apa yang anda sangka”.

 

Tona pembentangan Bellew adalah berdasarkan isu yang diketengahkan dalam buku tersebut. “Ia sebenarnya isu masa kini, bukan masa depan. Apa yang kita sedang hadapi merupakan suatu masalah bersakala amat besar.” Beliau turut merujuk kepada “individu pertama yang benar-benar memperkatakan tentang kemampanan dengan cara yang memberi bermakna” iaitu Buckminster Fuller dalam bukunya “Operating Manual for Spaceship Earth’.

 

Bellew membentangkan maklumat terperinci tentang beberapa bangunan bertaraf ikon yang ada di antaranya menerima sentuhan kepakaran Atelier Ten.

 

The Flatiron [bangunan pencakar langit tiga segi berbingkai keluli dengan seni bina tersendiri yang dibina pada 1902 oleh arkitek Danial Burnham yang terkenal sebagai bangunan tidak mempunyai tandas wanita]. “Pada masa dahulu bangunan ini mempunyai bidai peneduh tetapi kini ia mempunyai unit-unit penyaman udara Carrier dan itu dilihat sebagai kemajuan – apabila langkah-langkah perlindungan yang ada pada bangunan diganti dengan kuasa kuda.”

 

SR Crown Hall oleh Ludwing Mies van der Rohe pada 1956 (majalah Time menggelarnya sebagai “salah sebuah binaan paling berpengaruh, memberi inspirasi dan menakjubkan). “Kami pernah melakukan kerja pengubahsuaian di sini. Sememangnya ia sebuah bangunan bertaraf ikonik di mana pengajian seni bina pernah di ajar selama bergenerasi lamanya di sini. Ia mempunyai reka bentuk mudah yang mengutamakan ciri-ciri minimalisme, kaca, lut sinar… namun merupakan sebuah bangunan paling tidak selesa di dunia. Tersirat suatu ironi yang mengagumkan di sini – anda tempatkan pelajar dalam bangunan panas dan berikan mereka kefahaman mengenai seni bina hijau!

 

Beliau kemudian beralih ke konsep Brutalisme – satu gaya seni bina yang muncul pada pertengahan abad ke 20 dan semakin popular sepanjang tahun 70an – mempunyai ciri-ciri binaan ringkas, berbentuk bongkah dan menggunakan konkrit mentah. “Tiada yang mesra alam di sini. Contoh yang ingin kita bawa adalah Fakulti Seni Bina di Yale Uiversity yang pernah cuba dibakar oleh para pelajar semasa mula-mula ia dibuka kerana terlalu tidak selesa!”

 

“Oleh itu, di mana perlu kita dapatkan sumber inspirasi kita?

 

Bellew menjawab soalannya sendiri dengan menunjukkan kepada para hadirin gambar-gambar busut anai-anai (alam sekitar sebagai pelindung kepada jurubina tanpa ijazah seni bina atau tanpa deria penglihatan - mereka merupakan pakar dalam pembinaan struktur yang mempunyai penswakawalaturan (fungsi penyeleggaraan sendiri) yang mampu mengekalkan tahap oksigen, suhu dan kelembapan).

 

Jelas beliau, berpandukan alam semula jadi, Atelier Ten membina Pusat Taman Tema Alam Sekitar Bumi (Earth Centre Environmental Theme Park) yang merupakan Kanopi Fotovolta terbesar di UK. Kanopi Solar ini [terbesar pada masa itu] menyokong pembekalan tenaga kepada pusat tersebut. Seperti busut anai-anai, terowong-terowong yang berselirat dibina ke dalam bumi untuk mengekalkan kedinginan pada musim panas tanpa memerlukan penyaman udara.

 

Natijahnya, labirin (labyrinth) telah termasuk dalam perbendaharaan kata baharu bagi bangunan mampan.

 

Konsep tersebut telah digunakan secara meluas dalam projek-projek mereka yang berikutnya termasuk Federation Square, Melbourne, di mana sistem tersebut telah beroperasi dengan jayanya. Ia juga telah terbukti berkesan di kawasan-kawasan iklim berlainan dengan suhu yang lebih tidak menentu seperti di Ankara, Turki.

 

Ibu pejabat TMB di Ankara menyediakan sebuah sistem mekanikal serta labirin di bahagian bawah yang membekalkan udara panas (kemampuan untuk menyerap, menyimpan dan melepaskan haba secara semula jadi bagi membolehkan bangunan bertindak balas secara semula jadi dengan perubahan persekitaran, justeru membantu menstabilkan suhu dalaman dan menyediakan sebuah persekitaran penswakawalaturan).

 

Atelier Ten turut terlibat dalam pembinaan WWF Living Planet Centre in Working iaitu “bangunan paling hijau di UK” yang merupakan sebuah pusat pameran World Wildlife Fund. Projek ini telah dianugerahkan dengan akreditasi tertinggi BREEAM Bespoke ‘Outstanding’.

 

“Ia menerima pakai reka bentuk yang sungguh bersepadu dari segi kemampanan alam sekitar. Pencahayaan semula jadi dan buatan pada siang hari direka secara teliti di mana arkitek menyediakan skima pencahayaan bersepadu pada tahap tertinggi, bersesusian dengan seni binanya yang menakjubkan. Strategi pengudaraan pelbagai kaedah turut direka bagi keseluruhan bangunan tersebut. Ini meliputi pengalihudaraan mekanikal dengan sistem pengekalan haba pada musim sejuk dan pengalihudaraan semula jadi yang dibantu oleh saluran-saluran ke dalam bumi bagi penyejukan pasif pada musim panas.

 

Di rantau ini, Atelier Ten (bersama dengan Grant Associates dan Wilkinson Eyre) terlibat dalam kerja-kerja di Gardens by the Bay di Singapura, sebuah projek bersaiz gergasi yang mengambil masa hampir enam tahun untuk dilancarkan jika dikira dari ketika pelan reka bentuknya dikemukakan.

 

Taman-taman tersebut adalah satu pencapaian di peringkat nasional dan antarabangsa dari sudut amalan kemampanan (memenangi ‘World Building of The Year 2012’ di World Architecture Festival). Ia meliputi “Durian Building” (The Esplanade-Theatres on The Bay) yang bertaraf ikon serta “Super Trees”, dan sebuah kasino – bersaiz sederhana.

 

“Malangnya, kami tidak mempunyai sebarang hak Harta Intelek ke atas reka bentuknya - logo, barang kemas serta segala barangan yang dijual di kedai pada masa ini – tidak medatangkan sebarang komisen kepada kami. Namun begitulah resmi hidup sebagai pereka!” ujar Bellew.

 

Atelier Ten menyediakan reka bentuk kejuruteraan mekanikal dan elektrikal hingga ke peringkat akhir pembinaan serta khidmat nasihat pelan induk kemampanan. Mereka membangunkan strategi inovatif bagi mengawal persekitaran lembap semula jadi di Singapura sambil meminimumkan keperluan tenaga. Struktur pokok gergasi di bahagian luar berserta sistem pengontang cecair menyediakan udara sejuk ke kedua-dua biomes di taman-taman utama. Pokok-pokok Gergasi (Super Trees) tersebut menempatkan panel fotovolta yang menjana tenaga tahunan mencukupi untuk pencahayaan Super Trees itu sendiri.

 

Sisa yang dikeluarkan oleh Taman-taman Nasional Singapura (Singapore’s National Parks) di salurkan dari pusat pelupusan dan digunakan sebagai sumber biojisim untuk penjanaan tenaga bagi kegunaan di seluruh taman.

 

“Adalah amat penting untuk kita fahami bahawa kisah yang cuba diketengahkan dari peringkat awal lagi berkisar tentang interaksi alam semula jadi – dengan penyejukan semula jadi yang merupakan sebahagian daripada sistem-sistem semula jadi, lantas mengakui bahawa kita tidak mampu untuk membuat binaan yang bermanfaat kepada alam semula jadi yang tidak bercirikan penjanaan semula dan lebih daripada sekadar mampan. Jika ini mampu dicapai, kita akan dapat mengecapi kepuasan. Inilah konsep asal Super Trees.”

 

Sebagai sebahagian daripada pelan induk pembangunan dan proses pelaksanaan Gardens by the Bay, Atelier Ten telah membangunkan dan menggunakan satu rangkaian pelan pelaksanaan mampan yang meliputi bidang-bidang kemampanan alam sekitar yang berpotensi akan dijejaskan oleh pembangunan berkenaan, dengan tujuan untuk menerapkan idea-idea kemampanan yang holistik ke dalam projek tersebut.

 

Sebuah projek pembinaan alam sekitar yang sedang dijalankan oleh Atelier Ten di Singapura adalah Jewel di Lapangan Terbang Changi. Bellew dan pasukannya ditugaskan untuk menyediakan reka bentuk alam sekitar strategik dan khidmat nasihat analitikal bagi projek luar biasa dan mencabar ini.

 

Kesimpulannya, Bellew bercakap tentang cara bagaimana untuk memberikan sesuatu yang bermakna dengan sumber yang sedikit dalam sesebuah projek.

 

“Ia berkisar tentang cara anda berfikir dan tidak semestinya menelan perbelanjaan besar. Mengubah cara anda berfikir tentang projek, cara anda melaksanakan projek, khususnya dengan menggabungkan kemahiran yang anda perlukan daripada seorang arkitek, kejuruteraan pembinaan, kejuruteraan alam sekitar… pada masa yang sesuai supaya anda tidak hanya sekadar melukis sebuah bangunan dan cuba untuk memuatkan segala idea ke dalam sebuah permohonan kebenaran perancangan atau ke dalam bajet. Ia memerlukan penyelarasan peringkat tinggi.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.cidb.gov.my

 

[ 25 Mac 2019)

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04