cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

Sarah Ichioka The Emergency Is Real Lets Push The Change

 

Kuala Lumpur: Sarah Ichioka adalah salah seorang penceramah di Persidangan Transformasi Pembinaan Antarabangsa (ICTC) sempena ICW 2019 yang berakhir pada hari Khamis.

 

Dalam sesi yang dikongsi bersama Profesor Patrick Bellow di mana Serina Hijjas bertindak sebagai moderator, Sarah Ichioka telah membuat pembentangan bertajuk ‘Green By Design: We Can’t Build Another Planet’.

 

Ichioka memiliki latar belakang yang berpelbagai dan pernah menggalas tanggungjawab dalam bidang kepimpinan, perancangan dan kurator di institusi-institusi terkemuka seperti program bandar LSE, Tate Modem dan Jabatan Perumahan di Bandaraya New York. Beliau telah dianugerahkan sebagai Global Public Design Interest 100 oleh Royal Institute of British Architects dan turut menerajui Desire Lanes, sebuah firma perunding strategik bagi oraganisasi dan inisiatif berteraskan impak alam sekitar, kebudayaan dan sosial. Beliau kini berpangkalan di Singapura.

 

“Keadaan mencemaskan ketika ini adalah suatu kenyataan. Keruncingan yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” Ichioka memulakan perbincangan beliau mengenai isu yang serius ini dengan sebaris kenyataan sebelum membawa perhatian hadirin ke persoalan “bagaimana boleh jadi begini”.

 

Pada awal pembentangan beliau, Ichioka memetik pernyataan kumpulan aktivis Extinction Rebellion yang percaya bahawa “kita terpaksa menggunakan segala apa yang kita ada untuk terus hidup”.

 

“Bumi menjadi semakin panas dan ahli-ahli sains bersetuju bahawa ini adalah akibat aktiviti manusia sendiri. Pemanasan global menyebabkan iklim kita berubah dan ia sedang berlaku sekarang. Kesan-kesannya termasuk kemarau, banjir, taufan serta kenaikan paras laut. Pada tahun 1950, jumlah pelepasan global tahunan kita adalah sekitar enam giga tan. Kini ia telah melonjak ke 37 giga tan.

 

“Jika kita terus mengeluarkan CO2 pada kadar masa kini selama dua dekad lagi, kita berkemungkinan tidak akan mampu lagi mengawal kenaikan purata suhu global. Kenaikan suhu sebanyak tiga darjah Celcius akan membawa kita ke takat suhu yang tidak pernah dialami oleh bumi sejak tiga juta tahun dahulu,” kata beliau.

 

Ichioka menekankan lagi tentang betapa mendesaknya keadaan pada masa ini dengan memetik pengisytiharan yang dikeluarkan oleh Laporan Risiko Global dalam Forum Ekonomi Dunia 2018 bahawa kejadian cuaca melampau merupakan risiko terbesar terhadap pembangunan manusia pada masa depan.

 

Beliau turut menyentuh tentang kelemahan dalam Perjanjian Paris (Persidangan UN mengenai Perubahan Iklim) sebelum membentangkan impak penuh kepada alam sekitar, natijah perbuatan manusia – daripada penurunan paras PH lautan hingga ke kepupusan ribuan spesis hidupan akibat tangan kita.

 

“Apa yang anda rasa apabila dibentangkan dengan statistik-statistik ini?” soal Ichioka yang kemudiannya membawa tumpuan hadirin kepada bantahan remaja antarabangsa baru-baru ini terhadap perubahan buruk iklim dunia.

 

Berpadanan dengan kepakaran beliau sebagai perunding strategik bagi inisiatif alam sekitar, Ichioka enggan menuruti norma biasa dalam persidangan “di mana penceramah sepatutnya sentiasa bersikap profesional dan tidak menunjukkan sebarang emosi, berkecuali secara ilmiah, pendek kata meninggalkan sepenuhnya sifat kemanusiaan kita di rumah”. “Cabaran yang perlu kita bincangkan di sini pada hari ini akan memberi kesan langsung kepada kita dan anak-anak kita semua. Generasi muda iaitu golongan yang bakal menghadapi kehidupan paling terjejas, mengharapkan kita – kita semua yang memegang kuasa dan mampu mencetuskan impak agar mengambil tindakan yang perlu untuk melindungi mereka.”

 

Ichioka turut menyatakan kesedihan beliau berhubung isu kemampanan yang sepatutnya “dimasukkan dalam segala apa yang kita lakukan” namun masih jauh panggang dari api.

 

“Kemampanan sebenarnya merupakan pendekatan yang masih belum mencukupi untuk mengatasi krisis yang kita sebagai manusia telah akibatkan kepada diri kita sendiri. Mengapa kemampanan terbukti sebagai langkah yang tidak konsisten jika ia secara mudahnya bermaksud melakukan semakin sedikit keburukan?” soal beliau dengan merujuk kepada Panel Antara Kerajaan berhubung Laporan Khas Perubahan Iklim nombor 15 yang mengisytiharkan “Usaha kemampanan kita adalah tidak mencukupi dan terbukti semakin tidak memadai jika kita ingin mengelakkan berlakunya akibat paling buruk daripada malapetaka kemusnahan natijah apa yang telah kita sendiri lakukan”.

 

Dua hari selepas laporan tersebut diterbitkan, Foster + Partners Bloomberg HQ telah di anugerahkan dengan Stirling Prize (pengiktirafan tertinggi British dalam bidang seni bina). Projek 10 tahun tersebut adalah gabungan antara Bloomberg dan Norman Foster, arkitek terkaya di UK.

 

Royal Institute of British Architects yang mengendalikan Stirling Prize menggelarnya sebagai “bangunan pejabat paling mampan di dunia” namun keputusan tersebut telah dikritik oleh pelbagai pihak, khususnya jika dibandingkan dengan pemenang tahun sebelumnya iaitu dRMM’s Hastings Pier yang dianggap secara meluas sebagai contoh unggul seni bina sivik.

 

dRMM menggunakan kayu-kayan yang diselamatkan daripada kebakaran yang melanda jeti sebelumnya secara meluas dan telah mengadakan perbincangan secara rapat dengan orang ramai serta pertubuhan amal yang membiayainya, menjadikan ia sebuah projek komuniti sebenar.

 

Jelas, Ichioka adalah salah seorang antara mereka yang tidak berpuas hati. “Skim bernilai satu bilion ini, atau ‘bangunan pejabat paling mampan di dunia ini’ [merujuk kepada Foster Bloomberg HQ] mungkin tidak sesuai dengan keperluan kita untuk menghadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius.”

 

Menurut IPCC, menghadkan pemanasan kepada 1.5 darjah Celsius mungkin mampu dilakukan berdasarkan hukum kimia dan fizik, tetapi memerlukan perubahan yang amat besar. Selain daripada mengurangkan perkara yang membawa keburukan, IPCC turut menyatakan bahawa menerima pakai kadar 1.5 tersebut mungkin lebih mudah dan menelan kurang belanja.

 

“Perubahan besar” bermaksud dua perkara: kita perlu mengurangkan pelepasan gas berbahaya dan melakukannya dengan segera.

 

Sambil menyatakan rasa hormat beliau kepada strategi 4R dalam pembangunan mampan [pengurangan, penggunaan semula, pengitaran semula, pemulihan (reduction, reuse, recycle, recovery)], Ichioka dengan beraninya menambah 4R beliau sendiri - Rebel (Penentangan) (mari kita suarakan bersama), Root (Penerapan) (mari kita sebatikan penyelesaian terhadap krisis pada masa ini ke dalam kekayaan sejarah dan budaya yang kita amalkan), Relate (Kaitkan) (mari kita tafsirkan dan sebarkan tentang sistem-sistem asas yang terus menjadi punca krisis global ini) dan Regenerate (Jana Semula) (mari kita mengambil inspirasi daripada alam semula jadi untuk mencipta bahan-bahan dan kitaran pengeluaran).

 

Sebagai metafora tentang bagaimana 4R beliau berfungsi, Ichioka mencerita apa yang beliau sebut sebagai “2 kisah” – protocol progresif bagi lanskap semula jadi yang dicetuskan di National University of Singapore dan Los Angeles Urban Eco Village.

 

“Pakar-pakar ekonomi bersetuju bahawa KDNK adalah ukuran yang amat tidak mencukupi bagi kemakmuran sosial, ekonomi dan budaya sesebuah negara. Kita juga perlu mencari satu ukuran dan piawaian baharu. Kita perlu membongkar masalah pencemaran CO2 menjelang 2050, menghadkan dengan segera ejen pencemaran bertaraf super seperti metana dan melaksanakan usaha menyahkarbon dalam atmosfera.

 

“Kita perlu jelas. Bertindak sekarang secara pantas dan muktamad adalah lebih baik dan mudah daripada melengahkannya sehingga ke peringkat tidak boleh ditarik balik. Kita perlu beralih daripada kebiasaan dan amalan masa kini bagi membolehkan kita berpeluang melepasi krisis yang diakibatkan oleh sistem ekonomi dan politik kita sendiri.

 

“Ayuh bangkit menyambut cabaran baharu ini. Ayuh berusaha untuk berubah.”

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.cidb.gov.my

 

( 22 Mac 2019)

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04