cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

MRCBS Revolutionary Building System MBS The Future Of Construction

Kuala Lumpur: Telah muncul satu sistem yang selangkah lebih maju berbanding IBS (Sistem Binaan Berindustri). Sistem binaan volumetric bersifat futuristic ini diperkenalkan buat kali pertama di Malaysia dalam pameran ICW 2019 oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).

 

Menurut CCO MRCB, Amarjit Chhina, sistem termaju ini – digelar Sistem Binaan MRCB (MBS) – adalah gabungan sistem Prefabricated Prefinished Volumetric Construction (PPVC) dengan satu sistem penyambungan yang dikenali sebagai Sistem Sambungan candle-loc.

 

Melalui sistem ini, komponen bangunan akan dibuat di luar kawasan tapak sepenuhnya dan dihantar ke tapak untuk dipasang menggunakan Sistem Sambungan Candle-Loc yang merupakan satu proses pemasangan bagi membentuk satu unit. Unit-unit ini kemudian ditindan di atas satu sama lain dan akan pasang pada posisi masing-masing bagi membentuk bangunan. Unit-unit berkenaan boleh digunakan dalam pembangunan kos rendah, sederhana dan mewah yang meliputi bangunan setingkat, bertingkat rendah, bangunan tinggi, sekolah, hospital, hotel dan pejabat.

 

Berikut adalah sesi Q&A dengan China:

 

Q: Apakah kelebihan MBS berbanding IBS?

 

Salah satu kelebihan utama MBS berbanding IBS adalah 95% daripada kerja-kerja pembinaan boleh dilakukan di luar kawasan tapak manakala di bawah IBS hanya kira-kira 30% kerja dilakukan di luar kawasan tapak. Hasilnya, masa penyiapan projek boleh disingkatkan sebanyak 30%.

 

Di samping itu, pembuatan komponen bangunan di luar kawasan tapak dilakukan serentak dengan pembangunan di tapak. Setelah komponen disiapkan, modul-modul akan dipasang dan ditempatkan ke posisi di tapak. MBS juga bukan hanya mampu menghasilkan dinding kosong malah kemasan seni bina dan kemasan dalaman yang membolehkan unit-unit di reka bentuk secara khusus. Ia menjimatkan masa, mengurangkan penggunaan buruh kasar dan turut mempertingkatkan keselamatan di tapak kerana kebanyakan kerja fabrikasi dilakukan di luar kawasan tapak iaitu di kilang dalam persekitaran terkawal.

 

Q: Bagaimanakah sistem MBS akan mentakrif semula masa depan industri pembinaan?

 

Sistem IBS sedia ada yang sedang diguna pakai di seluruh industri pembinaan adalah satu sistem yang berkesan. Walau bagaimanapun, pencapaian teknologi yang kian maju bakal memerlukan sistem-sistem yang lebih canggih untuk memenuhi permintaan para pembeli yang cakna tentang perkembangan terkini.

 

Peranan inilah yang bakal dimainkan oleh sistem MBS dengan ciri-ciri automasi terkini dan direka untuk menghasilkan bangunan lebih pantas daripada apa yang pernah dicapai, tanpa mengabaikan keseluruhan kualiti dan kecekapan projek. Kini kita mampu menyiapkan projek pembinaan dalam jangka masa yang tidak pernah terfikir sebelum ini dengan kos, pembaziran bahan dan pergantungan kepada tenaga manusia yang lebih rendah. Sesungguhnya sistem ini merupakan satu pencapaian yang amat besar dan ia akan merevolusi lanskap industri pembinaan di Malaysia.

 

Q: Sistem MBS adalah lebih pantas berbanding IBS, tetapi adakah ia lebih selamat?

 

Dengan menggunakan automasi berteknologi tinggi, pemasangan panel-panel pratuang 2D menjadi model 3D dilakukan dengan ketepatan mekanikal bagi memastikan kualiti yang optimum. Selepas proses pemasangan, pin-pin keluli tahan karat dan kepingan-kepingan pepasang lateral akan dikenakan pada setiap unit bagi mengukuhkan kedudukan modul berkenaan di tempatnya. Secara keseluruhan, sistem MBS adalah lebih cekap, pantas dan selamat memandangkan ia mengurangkan risiko dan memastikan keselamatan di tapak. Ia pasti akan merintis hala tuju ke hadapan bagi industri pembinaan.

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari: www.cidb.gov.my

 

(20 Mac 2019)

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04