cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

 

rofizlan

 

KUCHING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia telah membelanjakan lebih daripada RM646 juta sejak 1997 bagi melatih belia dan personnel binaan di enam buah Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang terletak di seluruh negara, kata Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

 

Selain dari itu, sejak tahun 2015, CIDB telah juga mengubah pendekatan latihan di ABM dengan memberi tumpuan kepada latihan di dalam bidang kemahiran yang berimpak tinggi.  

 

Menurut Fadillah lagi, pada tahun 2017, hampir RM52 juta dibelanjakan untuk tujuan ini berbanding RM32 juta pada tahun sebelumnya.

 

ABM yang mempunyai enam cawangan di seluruh negara, menyediakan latihan di dalam lebih 40 bidang kemahiran pembinaan.

 

“Bidang-bidang berimpak tinggi ini merupakan bidang yang mempunyai permintaan tinggi di dalam industri, menawarkan pendapatan yang lebih lumayan dan berpotensi menarik minat lebih ramai belia tempatan untuk menceburi kerjaya di dalam industri pembinaan,” katanya setelah merasmikan pembukaan Pusat Konvensyen CIDB Sarawak (CCCS) yang terletak di dalam Kompleks CIDB Sarawak.

 

Sepuluh jenis bidang kemahiran berimpak tinggi yang ditawarkan di ABM adalah: Scaffolding Erection, Welding, Wireman, Chargeman, Gas Pipe Fitting (Fitting/Insulation), Blasting & Painting, Non Destructive Testing (NDT), Crane Operation, Plant Operation dan Plumbing.

 

Semenjak 1997, lebih daripada 377,000 belia dan personnel binaan telah menerima latihan di ABM di dalam pelbagai bidang kemahiran pembinaan.  

 

Selain itu, ABM juga bekerjasama rapat dengan lebih daripada 100 rakan industri bagi menawarkan latihan-latihan yang relevan kepada keperluan industri dan juga menempatkan peserta yang telah tamat latihan untuk menjalankan latihan praktikal di dalam syarikat-syarikat industri pembinaan yang sesuai.

 

Di Sarawak khususnya, lebih daripada 37,000 belia dan personnel binaan telah dilatih di ABM sejak tahun 2010. Dari 2010 sehingga kini, CIDB telah membelanjakan sebanyak RM34.2 juta di ABM Sarawak untuk melatih 32,035 belia dan personel binaan.

 

Sementara itu, Pusat Konvensyen CIDB Sarawak yang dirasmikan hari ini (April 27) merupakan sebahagian daripada pembinaan bagi meningkatkan kemudahan yang disediakan di dalam Kompleks CIDB Sarawak yang pada asalnya hanya mengandungi lokasi Pejabat CIDB dan Pusat Latihan ABM Sarawak.

 

Pengerusi CIDB, Tan Sri Dr Ir Ahmad Tajuddin Ali di dalam ucapan aluannya berkata, selain CCCS, tiga blok bangunan asrama dua tingkat dan juga enam buah fasiliti sukan telah siap dibina di dalam pembangunan fasa pertama ini yang menelan belanja sebanyak RM30 juta.

 

Pembinaan bangunan asrama tersebut adalah langkah positif yang diambil untuk meningkatkan keselesaan pelatih bagi menggalakkan lebih ramai belia dan personel dari negeri Sarawak untuk menjadi pekerja mahir dalam sektor pembinaan.

 

Fasiliti yang disediakan di dalam Kompleks CIDB Sarawak ini terbuka untuk disewa oleh para penggiat industri pembinaan dan juga masyarakat setempat untuk mengadakan aktiviti yang bersesuaian.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cidb.gov.my

 

[April 27, 2018]

 

 

KOD QR

iso 01iso 02

iso 03iso 04