cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

 Pix Sandakan

 

SANDAKAN: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman menggesa agar ibubapa memberi galakkan kepada anak-anak remaja mereka untuk mendapatkan latihan kemahiran dalam industri pembinaan melalui Akademi Binaan Malaysia (ABM) dibawah kelolaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).


Menurutnya, hasil testimoni kejayaan alumni ABM menunjukkan mereka dapat menceburkan diri sebagai pekerja mahir binaan di syarikat-syarikat besar.

“Malah ada di antara mereka yang berjaya menjadi usahawan berpendapatan tinggi hanya berbekalkan kemahiran yang telah dipelajari,” kata Musa.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Pembangunan Kontraktor dan Perasmian Pejabat CIDB Cawangan Sandakan serta Penyerahan Projek Build Brigade di Dewan Sri Libaran, Sandakan pada November 12, 2017.

Turut hadir bersama Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Ketua Eksekutif CIDB Dato' Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Presiden Majlis Perbandaran Sabah (MPS) Datuk Ir. James Wong.

Seminar sehari itu bertujuan memberi pendedahan kepada pengggiat-penggiat industri di Sandakan mengenai peluang latihan kemahiran dan akreditasi yang disediakan oleh ABM Sabah, selain memberi pendedahan lengkap mengenai urusan perlesenan dengan MPS serta proses pendaftaran kontraktor dengan CIDB.

Peluang projek pembangunan

Musa juga turut menggesa agar penduduk Sabah mengambil peluang terhadap pembangunan berimpak tinggi seperti projek Lebuhraya Pan Borneo bagi meningkatkan sosio- ekonomi masing-masing.

Katanya, proses pembinaan infrastruktur berskala besar ini sudah pasti akan membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah.

"Mengambil contoh Projek Lebuhraya Utara Selatan di Semenanjung, lebuhraya Pan Borneo semestinya akan menyambungkan kampung-kampung yang dahulunya terpencil disamping meningkatkan tahap ekonomi bandar-bandar kecil di sekitarnya.

"Saya menjangka lebih banyak lagi projek pembangunan dan pembinaan yang akan wujud hasil daripada tempias projek Lebuh Raya Pan Borneo ini," jelasnya.

Pejabat CIDB Cawangan Sandakan telah beroperasi pada 25 April 2016 di Bandar Megah Jaya, Batu 7, Jalan Lintas Labuk, Sandakan dengan kekuatan kakitangan seramai 14 orang bagi menjalankan kerja-kerja pendaftaran kontraktor dan personel binaan, penguatkuasaan dan levi, tuntutan takaful serta pembangunan industri dan latihan.

Sila baca kenyataan akhbar untuk maklumat lanjut.

iso 01iso 02

iso 03iso 04