cidb careline v1 01 
cidb careline clickv2 01

 COMBI

Yang berbahagia Dr. Zainudin Bin Abdul Wahab menyampaikan plak anugerah COMBI Tapak Binaan 2017 kepada pemenang tempat pertama, Grand Dynamic Builders (Projek West Side III)


KUALA LUMPUR: Pemaju Grand Dynamic Builder telah memenangi Anugerah COMBI Tapak Binaan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 2017 untuk projek West Side III.

Program ‘Communication For Behaviourial Impact’ (COMBI) merupakan satu kerjasama perkongsiaan pintar diantara Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan syarikat pembinaan dalam usaha mewujudkan tapak pembinaan bebas daripada pembiakan aedes.

Para pemenang telah diumumkan pada hari Rabu (November 1). Selain pemenang utama Grand Dynamic Builder, tempat kedua dimenangi oleh Mitrajaya Homes Sdn Bhd untuk projek Wangsa 9 Residency manakala tempat ketiga jatuh kepada Sunway Construction Sdn Bhd.

Pengurus Keselamatan dan Kesihatan Grand Dynamic Builder, Shafiee Salehudin, berkata pihak Kementerian Kesihatan telah memberi tunjuk ajar bagaimana program ini harus dijalankan.

“Untuk mengawal nyamuk, tempat kerja haruslah bersih. Ianya adalah komitmen dari saya dan juga pasukan. Pihak atasan memberi sokongan dan bajet," jelas Shafiee.

"Hasilnya tempat kerja bersih dan pekerja juga berasa seronok untuk menjalankan tugas"

Dalam ucapan semasa upacara penamaan pemenang, Pengarah Kesihatan JKWPKL&P, Dr Zainudin Abdul Wahab berkata dari Januari hingga Oktober tahun ini, sejumlah 7,574 kes denggi telah dilaporkan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Jumlah ini menunjukkan sedikit penurunan, iaitu 0.5% berbanding 7,612 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2016.

"Sepanjang tahun ini juga, 19 kematian denggi telah didaftarkan berbanding dengan 17 kematian bagi  tempoh yang sama pada tahun 2016," kata beliau.

Tapak binaan dikenalpasti sebagai tempat utama pembiakan aedes. Ia menyumbang sebanyak 50% daripada statistik yang disebutkan.

Dari pemeriksaan yang dijalankan keatas 189 tapak binaan oleh JKWPL& P, 35% tapak binaan didapati positif pembiakan aedes. Tiga puluh tapak binaan telah diambil tindakan penutupan dan pendakwaan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit, 13 dikenakan kompaun dan 12 dikeluarkan notis arahan pembersihan.

Program COMBI yang mula dilaksanakan pada bulan Jun 2016 melihat penglibatan awal daripada 33 buah tapak binaan di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Penilaian pertama yang dijalankan pada November 2016 ke atas 31 tapak pembinaan yang layak dinilai dibawah program tersebut mendapati 16% - atau 5 tapak binaan - positif aedes.

Penilaian kedua yang dijalankan pada bulan Mac dan April 2017 ke atas 31 tapak binaan mendapati 13% - atau 4 tapak binaan - positif aedes.

Penilaian terakhir yang dijalankan pada bulan Mei dan Jun 2017 ke atas 10 tapak binaan mendapati 10% - atau 1 tapak binaan - positif aedes.

Didalam sidang media yang diadakan, Zainudin mengharapkan sasaran tiga tapak binaan bagi setiap Pejabat Kesihatan Daerah untuk turut serta dalam program COMBI dan sekurang-kurangnya 15 tapak binaan setahun pada masa akan datang.

Program COMBI dijalankan oleh Kementerian Kesihatan disekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Johor pada masa ini, dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa depan.

Pada sidang media yang sama, Pengarah CIDB Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Pn. Zainora Zainal menerangkan komitmen CIDB untuk membantu menjayakan program ini.

"CIDB akan memberikan 30 mata CCD kepada kontraktor untuk memperbaharui lesen pembinaan.

"CIDB juga mempunyai cawangan di seluruh Malaysia untuk memberi sokongan apabila program ini dilancarkan ke seluruh negara" kata Zainora.



[1 November 2017]

 

 

iso 01iso 02

iso 03iso 04