| Apa itu levi? | |
|
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah ditubuhkan pada tahun 1994. Objektif utama Kerajaan Persekutuan menubuhkan CIDB adalah sebagai sebuah agensi badan berkanun yang menggalak, mempromosi, menggiat, merangsang pembangunan, pembaikan, meningkat dan mengembangkan industri pembinaan negara. Justeru itu Kerajaan telah memberi kuasa kepada CIDB melalui AKTA 520, untuk memungut levi daripada kontrak-kontrak pembinaan yang dijalankan di Malaysia.
Sebagai sebuah badan yang menjana pendapatan sendiri (self finance statutory body), CIDB menggunakan Levi sebagai satu peruntukan yang dipungut untuk memenuhi objektif-objektifnya dan memastikan industri pembinaan menjadi sektor penyumbang terbesar kepada ekonomi negara. Pembangunan program-program yang dijalankan adalah untuk kebaikan pengiat-pengiat industri pembinaan terutamanya kontraktor. Oleh yang demikian semua Klien / Pemaju / Agensi-agensi Pelaksana Kerajaan / Perunding adalah dikehendaki untuk memaklumkan kepada Kontraktor-kontraktor yang "hendak menyertai mana-mana tender" atau yang telah diberi projek secara rundingan terus, untuk mematuhi peraturan-peraturan dengan mengadakan satu peruntukan mengenai kehendak pengenaan Levi dalam dokumen-dokumen tender atau kontrak mereka. CIDB memohon kerjasama organisasi atau agensi-agensi ini untuk mengemukakan salinan Surat Award / Surat Penerimaan Tender yang diberi kepada kontraktor-kontraktor atau dokumen-dokumen yang membuktikan penerimaan satu-satu kontrak. Selain daripada itu adalah menjadi tanggungjawab tiap-tiap kontraktor berdaftar untuk memberitahu dan mengemukakan kepada Lembaga apa-apa kontrak yang dia telah sempurnakan ke atas apa-apa kerja pembinaan. Kontraktor-kontraktor berdaftar yang gagal membayar apa-apa Levi yang kena dibayar dalam apa-apa tempoh yang ditetapkan, kontraktor berdaftar itu adalah melakukan suatu kesalahan dibawah undang-undang dan, apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi RM 50,000.00 atau dikenakan tindakan disiplin dimana CIDB boleh menggantung, membatal atau menarik balik pendaftaran mereka dengan CIDB. Pegawai-pegawai Penyiasat CIDB melalui kuasa yang diberi, boleh menjalankan penyiasatan-penyiasatan keatas perlanggaran-perlanggaran berkaitan dengan pembayaran levi melalui peruntukan di Bahagian IX Akta 520. |
|