Organisasi | Garis Waktu | Fakta | Media
 
Korporat Personel Binaan Teknologi Binaan Bisnes Binaan Penguatkuasaan Sumber Manusia Kewangan
 
Audit Dalaman
 
 

Soalan Lazim

  1. Apakah itu audit?
  2. Apakah fungsi Unit Audit Dalam?
  3. Apakah itu kawalan? Kenapa Bahagian/Unit mesti mengambil berat mengenai kawalan?
  4. Apakah itu kawalan dalaman?
  5. Siapakah yang bertanggungjawab ke atas kawalan dalaman?
  6. Kenapa Bahagian/Unit saya terpilih untuk auditan?
  7. Apa yang perlu dijangkakan apabila Bahagian/Unit saya dijadualkan untuk auditan?
  8. Apakah proses rutin audit?
  9. Berapa lama masa yang diambil untuk auditan?
  10. Adakah terdapat beberapa jenis auditan?
  11. Bagaimanakah memberikan kerjasama terbaik kepada juruaudit di CIDB?
  12. Siapa mengaudit Unit Audit Dalam?
  13. Bagaimana untuk menghubungi Unit Audit Dalam?

1. Apakah Itu Audit?

Pengauditan adalah proses di mana individu yang kompeten, bebas mengumpul dan menilai segala bukti mengenai maklumat yang berhubung rapat dengan entiti ekonomi yang spesifik untuk tujuan mengenal pasti dan seterusnya melaporkan tahap pertalian di antara maklumat yang dikenal pasti dan kriteria yang telah ditetapkan.
Audit Dalam sebagai badan bebas, menjalankan penilaian yang objektif dan aktiviti perunding bertujuan untuk menambah nilai dan mempertingkatkan operasi organisasi. Ia membantu organisasi mencapai objektifnya melalui pendekatan audit yang berdisiplin dan sistematik untuk menilai dan mempertingkatkan keberkesanan risiko pengurusan, kawalan dan proses Tadbir Urus (Corporate Governance). Hasil daripada auditan adalah dalam laporan audit.
Ke atas

2. Apakah Fungsi Unit Audit Dalam?

Unit Audit Dalam adalah bertanggungjawab dalam merancang dan melaksanakan audit di Lembaga. Daripada hasil audit kita boleh membekalkan maklumat penting dan berguna. Kami dapat membantu untuk mengenalpasti sama ada wujudnya kawalan dalaman yang mencukupi ke atas proses pentadbiran dan sistem. Unit ini juga dapat mengesyorkan langkah-langkah bagi memperbaiki kecekapan dan keberkesanan proses pentadbiran serta mencadangkan penambahbaikan dalam bidang ini dan berkaitan.

Kakitangan Unit Audit Dalam melakukannya dengan cara menjalankan kajian bebas dan objektif terhadap operasi dan prosedur Bahagian/Unit. Ini sejajar dengan matlamat Unit Audit Dalam untuk membantu melaksanakan tanggungjawab dengan cara melengkapkan dengan analisis, penilaian, cadangan dan komen-komen yang bersangkut-paut dengan aktiviti yang dikaji. Pencapaian matlamat ini melibatkan:

  • Menilai keberkesanan kekukuhan dan kecukupan struktur kawalan dalaman. Kualiti dan pembaikan berterusan ditekankan dalam proses kawalan organisasi;
  • Mengkaji kepatuhan terhadap polisi, perancangan, prosedur-prosedur, undang-undang dan peraturan-peraturan;
  • Mengesahkan kewujudan aset-aset dan menentukan ianya telah diperakaunkan dengan betul serta dilindungi daripada sebarang jenis kerugian;
  • Menyemak kebolehpercayaan dan kesahihan maklumat kewangan dan data operasi dengan menilai keseluruhan kawalan dan prosedur keselamatan komputer dalam pemprosesan data;
  • Menjalankan pemeriksaan dan semakan khas yang dipinta oleh pihak pengurusan termasuk menyiasat laporan penipuan, pecah amanah, kecurian dan pembaziran serta mencadangkan kawalan-kawalan untuk menghalang dan mengesan sebarang kejadian tersebut;
  • Menilai dari segi ekonomi dan kecekapan penggunaan sumber-sumber yang digunakan serta mencadangkan kawalan-kawalan untuk menghalang dan mengesan sebarang kejadian tersebut;
  • Menilai dari segi ekonomi dan kecekapan penggunaan sumber-sumber yang digunakan serta mencadangkan pembaikan dalam operasi; dan
  • Menentukan sejauh mana objektif dan sasaran yang ditetapkan untuk operasi atau program tercapai dengan cara yang efektif, efisyen dan ekonomikal dalam kekangan kos efektif dan sejajar dengan undang-undang dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan

Autoriti
Kakitangan Audit Dalam diberikan kuasa oleh Jawatankuasa Audit Lembaga untuk menjalankan program audit dalaman yang komprehensif. Pejabat Unit Audit Dalam seterusnya diberi kuasa mendapatkan akses sepenuhnya tanpa sebarang halangan terhadap fungsi-fungsi, rekod-rekod, harta benda dan personal dalam usaha menjalankan semakan secara menyeluruh dan berkesan.

Skop
Skop audit dalaman termasuklah keseluruhan aktiviti merangkumi daripada penyelenggaraan rekod-rekod perakaunan, pematuhan kepada polisi serta penilaian terhadap kefungsian serta keberkesanan dan kecekapan proses. Salah tanggapan umum terhadap auditan dalaman adalah seperti berikut:

  • Penilaian audit hanya menjurus kepada fungsi-fungsi perakaunan;
  • Ia bertanggungjawab terhadap pengesanan penipuan; dan
  • Ia hanya “bertindak dan menyerang yang tercedera selepas pertempuran berlaku”.
Pejabat Unit Audit Dalam cuba melenyapkan tanggapan tersebut dengan penjelasan berikut:
  • Bidang penilaian yang lebih luas tidak setakat fungsi-fungsi kewangan;
  • Memberikan panduan/nasihat kepada Lembaga tentang penipuan dan tanda-tanda berpotensi penipuan boleh berlaku; dan
  • Memberikan bantuan dan nasihat kepada Lembaga secara menyeluruh dan pelbagai isu berkaitan pengurusan.

    Ke atas

3. Apakah itu Kawalan? Kenapa Bahagian/Unit Mesti Mengambil Berat Mengenai Kawalan?

Kawalan Adalah Suatu Amalan Yang Baik.
Antara lain, kawalan mampu menyediakan jaminan terhadap:

  • Data pengurusan yang boleh dipercayai;
  • Aset-aset diperakaunkan dan terlindung daripada kerugian;
  • Amalan operasi yang sihat dan membantu memastikan pematuhan terhadap polisi-polisi, undang-undang dan peraturan-peraturan; dan
  • Sumber-sumber digunakan secara efisyen.

Kawalan boleh berlaku secara tidak formal sebagai contoh menyimpan maklumat penyelidikan dan kewangan yang penting di dalam sistem komputer anda, rekod-rekod disimpan di dalam laci yang berkunci ataupun menggunakan kata laluan untuk menghadkan kecapaian terhadap maklumat komputer.

3 Jenis Kawalan - Pencegahan, Pengesanan Dan Pembetulan
Kawalan boleh dirancang untuk pelbagai fungsi. Ada kawalan yang diwujudkan untuk mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini sebelum ianya berlaku (kawalan pencegahan). Terdapat juga kawalan yang diwujudkan untuk memastikan tindakan pembetulan diambil untuk mendapatkan keputusan yang diingini atau memastikan ianya tidak berulang. Kesemua jenis kawalan tersebut pada keseluruhannya berfungsi untuk memastikan objektif dan sasaran Bahagian/Unit tercapai.

Kawalan Pencegahan adalah lebih kos efektif berbanding kawalan pengesanan dan dirancang untuk menghalang kesilapan dan berlakunya kaedah yang tidak menurut peraturan. Apabila diterapkan dalam sesuatu proses, kawalan pencegahan dapat menghalang kesilapan, dengan demikian boleh mengelakkan kos pembetulan.

Contoh-contoh kawalan pencegahan adalah sikap amanah, staf yang kompeten, pengagihan tugas untuk mengelakkan kesilapan yang disengajakan, kelulusan yang diiktiraf bagi mengelak penyalahgunaan sumber Lembaga, dokumentasi yang mencukupi serta direkodkan di samping proses penyelenggaraan rekod yang betul bagi mengelak transaksi yang menyeleweng, kawalan fizikal ke atas tunai, kelengkapan dan aset-aset bagi mencegah penyalahgunaan dan pengubahsuaian.

Kawalan Pengesanan pada kebiasaannya lebih mahal berbanding kawalan pencegahan namun ianya masih diperlukan dan dirancang untuk mengenalpasti kesilapan atau penyelewengan selepas ianya berlaku. Kawalan pengesanan dapat mengukur keberkesanan kawalan pencegahan. Terdapat kesilapan yang tidak dapat dikawal secara efektif melalui sistem pencegahan tetapi ianya mesti dikesan setelah ianya berlaku.

Contoh-contohnya termasuklah meneliti pemerolehan penyata kad dan caj telefon berdasarkan kewajaran dan kesesuaian peruntukan. Kawalan pengesanan termasuklah alat/fungsi kawalan seperti pengesahan bank, pemeriksaan bebas ke atas prestasi, pengesahan baki di bank, kiraan tunai dan sistem penilaian seperti auditan dalaman.

Kawalan Pembetulan boleh memainkan peranan apabila hasil yang tidak diingini berlaku dan dikesan. Kesemua kawalan pengesanan di dalam dunia ini tidak bernilai jika kekurangan/kelemahan yang dikesan tidak diperbetul atau dibiarkan berulang. Kawalan pembetulan seperti laporan dan dokumen permasalahan setiap sistem terletak di bawah pengawasan pengurusan sehingga ia diselesaikan atau diperbetulkan. Oleh itu, kawalan pembetulan menutup kelemahan yang wujud pada kawalan pencegahan kepada pengesanan seterusnya pembetulan.

Sistem Kawalan Mengurangkan Risiko Perniagaan
Lembaga tidak mudah terdedah kepada kerugian apabila polisi-polisi dan prosedur-prosedur difahami dan mekanisme laporan boleh dipercayai. Sistem kawalan yang baik perlu mengandungi:

  • Kakitangan yang ditugaskan berkompeten, mempunyai pengetahuan dan latihan yang mencukupi;
  • Individu yang bertanggungjawab;
  • Pemantauan yang bebas;
  • Kelulusan dan pengesahan; dan
  • Pengasingan tugas.

Kesemua elemen kawalan melindungi setiap Bahagian/Unit secara keseluruhannya daripada kerugian. Ketiadaan satu sistem kawalan yang kukuh, boleh menyebabkan kesilapan dan kesalahan berlaku tanpa dikesan. Kawalan yang diwujudkan boleh menjadi penghalang kepada ketidaksempurnaan tumpuan kepada tugasan.

Peranan Pihak Pengurusan
Adalah menjadi tanggungjawab pihak pengurusan untuk mengekalkan sistem kawalan yang mencukupi di dalam bidang kuasa mereka. Perubahan persekitaran boleh menyebabkan keberkesanan kawalan merosot, ataupun kecenderungan pematuhan akan berubah. Sebagai tindakbalas kepada perubahan, pengurusan perlulah mengadakan kawalan tambahan atau mengubah kawalan sedia ada bagi melindungi daripada kerugian.

Ke atas

4. Apakah Itu Kawalan Dalaman?

Kawalan Dalaman adalah:

  • Sistem berintegrasi yang diwujudkan untuk memastikan Bahagian/Unit berada pada landasan untuk mencapai misinya;
  • Sistem berintegrasi bertujuan untuk menggalakkan keberkesanan, mengurangkan risiko kehilangan aset-aset dan memastikan kebolehpercayaan data; dan
  • Sistem berintegrasi menggalakkan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan-peraturan.

Aktiviti-aktiviti kawalan termasuklah:

  • Memberi kebenaran transaksi * Meluluskan transaksi * Pengesahan;
  • Penyata penyesuaian * * Pengasingan tugas * * Mengkaji prestasi operasi;
  • Kawalan Jaminan Aset * * Pemantauan akaun-akaun * * Analisa * Perbandingan; dan
  • Laporan * Pemerhatian * Komunikasi.

Ke atas

5. Siapakah Yang Bertanggungjawab Ke Atas Kawalan Dalaman?

Setiap individu di dalam Lembaga mempunyai peranan dalam keberkesanan kawalan dalaman. Peranan-peranan berubah dalam tanggungjawab dan pembabitan. Ketua Pengurusan adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pengawalan dana yang diamanahkan pada mereka. Pihak pengurusan tertinggi adalah bertanggungjawab kepada Anggota Pengarah yang mana menjalankan Tadbir Urus dan pengawasan. Sementara Jawatankuasa Audit bertanggungjawab sepenuhnya dalam penyeliaan sistem kawalan kewangan dan pentadbiran yang mencukupi di Lembaga. Ketua Bahagian/Unit perlu bertanggungjawab ke atas kawalan dalaman di dalam Bahagian/Unit masing-masing dan mengawal sendiri sistem kawalan dalam. Ketua Bahagian/Unit perlu menentukan ‘suasana’ untuk Bahagian/Unitnya dengan mempengaruhi kakitangannya kearah kesedaran terhadap kawalan serta mengaitkannya dengan falsafah pentadbiran seperti integriti, nilai etika dan kompetensi. Semua staf perlu memahami bahawa kawalan dalaman mesti diberi perhatian serius. Oleh kerana semua kakitangan menghasilkan maklumat yang membawa kesan ke atas sistem kawalan dalaman, mereka perlu bertanggungjawab membawa ke pihak pengurusan sebarang masalah dalam operasi, ketidakpatuhan ke atas polisi-polisi Lembaga atau pelanggaran lain-lain polisi dan aktiviti yang tidak sah.

Ke atas

6. Kenapa Bahagian/Unit Saya Terpilih Untuk Auditan?

Pihak Audit Dalam merancang satu pelan perancangan audit yang komprehensif berdasarkan kitaran 1 tahun dan mengenal pasti auditan yang akan dilakukan pada tahun-tahun yang mendatang. Keputusan pelaksanaan audit yang dimasukkan di dalam perancangan audit tahunan adalah berdasarkan pelan jangka panjang serta input daripada Jawatankuasa Audit, Pentadbiran, Pengurusan Jabatan, Juruaudit Luar dan kakitangan Audit Dalam. Pelan itu disemak dan diluluskan oleh Jawatankuasa Audit dan boleh dipinda pada bila-bila masa untuk memasukkan permintaan audit, projek khas atau perubahan kepentingan. Jawatankuasa Audit bermesyuarat minimum empat (4) kali setahun untuk mengkaji kemajuan perancangan audit.

Tidak semua auditan dipilih melalui kaedah yang sama. Bidang boleh dipilih untuk auditan jika:

  • Penilaian faktor risiko dianggap tinggi;
  • Peningkatan isu-isu pematuhan;
  • Ia adalah teras aktiviti perkhidmatan;
  • Adanya laporan penyelewengan berlaku; dan
  • Permintaan daripada pihak pengurusan.

Pemilihan berdasarkan penilaian ke atas risiko.

Kaedah yang biasa digunakan dalam pemilihan bidang auditan adalah dengan cara mengaplikasikan model penilaian risiko. Kesemua komponen Lembaga diambil kira dalam penyediaan model ini.

Beberapa faktor risiko diambil kira dalam penilaian termasuk:

  • Kualiti kawalan dalaman;
  • Material kewangan;
  • Kesan luaran;
  • Operasi yang kompleks; dan
  • Jangkamasa selepas kali terakhir diaudit.

Apabila model ini diaplikasikan, bidang-bidang akan dikategorikan menurut risiko. Bidang yang terdedah kepada risiko tertinggi menjadi keutamaan untuk diaudit. Penilaian risiko menghasilkan pelbagai jenis auditan termasuklah audit kewangan, operasi, pematuhan dan teknologi maklumat.

Ke atas

7. Apa Yang Perlu Dijangkakan Apabila Bahagian/Unit Saya Dijadualkan Untuk Auditan?

Melainkan tujuan auditan adalah untuk menyiasat penipuan yang disyaki ataupun audit mengejut kiraan tunai, atau pegawai kanan akan diberikan maklumat bertulis sekiranya Bahagian/Unit tersebut terpilih untuk diaudit. Surat ini akan menyatakan skop dan objektif yang perlu dicapai dalam auditan tersebut. Kemudian wakil daripada Unit Audit Dalam akan menghubungi untuk mengaturkan satu mesyuarat pembukaan untuk membincangkan skop audit dan logistik dalam melaksanakan audit tersebut. Pada mesyuarat pembukaan ini, Bahagian/Unit tersebut sepatutnya mengambil peluang untuk membincangkan sebarang kebimbangan atau soalan-soalan mengenai audit tersebut dan menentukan bagaimana dapat membantu dalam proses audit nanti. Auditan kebiasaannya mempunyai beberapa peringkat termasuklah kajian awal, pengumpulan dan analisa data, pandangan, penulisan dan pengedaran laporan serta tindakan susulan.

Ke atas

8. Apakah Proses Rutin Audit?

Surat Pelaksanaan Audit (Engagement Letter)

Audit Dalam memaklumkan secara bertulis kepada pelanggan mengenai pemilihan bidang mereka untuk auditan, jumlah kakitangan audit dalam yang ditugaskan untuk auditan, jangkaan masa auditan serta maklumat yang dikehendaki juruaudit yang perlu dibekalkan oleh auditi.

Mesyuarat Pembukaan

Satu mesyuarat pembukaan akan diaturkan dengan auditi untuk membincangkan tujuan, skop utama dan proses auditan. Ketua Audit Dalam dan juruaudit yang ditugaskan menghadiri mesyuarat tersebut bersama-sama wakil yang dianggap bersesuaian bagi pihak auditi. Auditi adalah digalakkan mengutarakan sebarang soalan atau keraguan mengenai auditan tersebut. Auditi juga boleh meminta supaya bahagian atau fungsi yang spesifik dalam Bahagian/Unit mereka diperiksa semasa ataupun selepas auditan tersebut.

Kajian Awal

Pada peringkat auditan ini, juruaudit cuba mendapatkan pemahaman mengenai prosedur-prosedur, objektif, saiz dan lain-lain mengenai auditi. Polisi-polisi dan peraturan-peraturan, carta organisasi, borang-borang berkaitan dan deskripsi tugas membolehkan juruaudit merancang ujian yang hendak dijalankan dan memahami proses auditi. Kawalan-kawalan dalaman dikaji dan didokumentasikan semasa peringkat audit ini.

Kerja Pengauditan

Pada fasa ini, juruaudit akan berada di pejabat auditi. Fasa audit ini termasuklah menguji kawalan dalaman dan menjalankan beberapa prosedur audit bersesuaian untuk melengkapkan objektif audit. Audit Dalam menghargai nilai masa setiap individu dan akan cuba memenuhi masa yang diperuntukan kepada juruaudit sebaik mungkin. Bagaimanapun perhatian perlu diberi bahawa juruaudit perlu bertanyakan soalan dan cuba bekerja (menjalankan audit) disekeliling persekitaran konflik.

Semakan Kerja Auditan

Penyemakan dilakukan secara berterusan daripada fasa perancangan, kerja pengauditan dan juga laporan akhir oleh Ketua Audit Dalam. Proses semakan ini mungkin memerlukan kerja tambahan dalam kes-kes tertentu.

Draf Laporan Audit

Sasaran Audit Dalam adalah melengkapkan auditan serta mengeluarkan draf laporan audit dalam tempoh 21 hari selepas tamatnya kerja audit di pejabat auditi. Draf ini disediakan dengan latar belakang, skop audit serta cadangan-cadangan yang dibuat. Satu mesyuarat keluar ‘Exit Conference’ akan diatur dan mesyuarat ini menjadi peluang membincangkan cadangan-cadangan audit, penjelasan ke arah sebarang kesamaran/kekeliruan dan jika perlu/meminda draf tersebut sebelum versi akhir dikeluarkan.

Laporan Akhir

Pihak auditi perlulah memberi respon secara bertulis mengenai penemuan-penemuan dan cadangan-cadangan audit. Maklumbalas tersebut akan dimasukkan di dalam laporan akhir audit. Kebiasaannya, Ketua Eksekutif dan Pengurus Besar menerima laporan tersebut. Di samping itu, satu salinan juga dihantar kepada pengurusan yang berkenaan bergantung kepada Bahagian/Unit yang diaudit. Laporan akhir tersebut akan dibincang dan disahkan oleh Jawatankuasa Audit.

Audit Susulan

Unit Audit Dalam akan membuat audit susulan untuk memastikan bahawa tindakan yang dikuatkuasakan mendapat hasil seperti yang dikehendaki. Auditan ini mengulangi proses normal auditan, tetapi skopnya terhad berdasarkan laporan akhir dan respon rasmi koresponden. Tindakan susulan dilaporkan kepada Jawatankuasa Audit yang akan menimbang kesesuaian/kewajaran atau sebaliknya tindakan yang diambil.

Ke atas

9. Berapa Lama Masa Yang Diambil Untuk Auditan?

Auditan berlangsung sama ada untuk beberapa hari sehingga beberapa bulan. Tempoh masa yang diperlukan bergantung kepada skop auditan, kemudahan mendapat maklumat yang diperlukan, jumlah juruaudit yang ditugaskan untuk auditan tersebut dan kualiti perekodan auditi. Audit kawalan dalaman mungkin mengambil masa satu (1) atau dua (2) minggu, manakala auditan yang lebih luas memerlukan enam (6) hingga lapan (8) minggu. Hubungan kerja yang positif di antara pelanggan (auditi) dan jururaudit adalah faktor penting dalam ketepatan maklumat yang dikumpulkan dan penyelesaian auditan mengikut jangkaan masa yang ditetapkan.

Ke atas

10. Adakah Terdapat Beberapa Jenis Auditan?

Ya. Terdapat 5 kategori utama kajian audit dalaman.

Audit Kewangan menumpukan persoalan berkaitan perakaunan, perekodan dan laporan transaksi kewangan. Menentukan sama ada Penyata Kewangan Lembaga menggambarkan kedudukan kewangan sebenar dan keputusan operasi-operasi kewangan yang sejajar dengan Prinsip Perakaunan Yang Diterima Umum. Mengkaji kesempurnaan kawalan dalaman termasuk juga di dalam skop auditan kewangan.

Audit Pematuhan cuba untuk memastikan sama ada Bahagian/Unit mematuhi peraturan-peraturan, arahan-arahan, polisi-polisi, prosedur-prosedur kewangan Perbendaharaan/Perkhidmatan dan Lembaga. Cadangan-cadangan dalam audit ini kebiasaannya mengunjur kepada penambahbaikan dalam proses dan kawalan bertujuan untuk memastikan pematuhan terhadap peraturan. Kebanyakan audit adalah gabungan isu-isu kewangan dan pematuhan.

Audit Operasi memeriksa mengenai penggunaan sumber-sumber Lembaga untuk dinilai sama ada sumber-sumber tersebut telah digunakan secara efisyen dan efektif bagi memenuhi misi dan objektif Lembaga. Juruaudit lebih menitikberatkan tentang siapa, apa, bila, kenapa dan bagaimana dalam menjalankan operasi yang efisyen dan efektif daripada hanya aspek-aspek perakaunan dan kewangan.

Audit Penyiasatan dijalankan jika terdapat permintaan daripada pegawai Lembaga atau pun pihak pengurusan pentadbiran. Audit ini difokuskan terhadap perakuan dan kelakuan penyelewengan bagi memastikan sama ada berlaku pencabulan undang-undang sivil atau jenayah serta melanggari polisi dan peraturan Lembaga. Alasan untuk audit penyiasatan termasuklah kecurian dalaman, penyalahgunaan aset Lembaga serta penyalahgunaan kuasa.

Audit Sistem Maklumat memeriksa kawalan dalaman persekitaran sistem automasi pemprosesan maklumat dan bagaimana sistem tersebut digunakan. Audit Sistem Maklumat secara umumnya menilai sistem input, output dan kawalan pemprosesan, pelan sokongan dan pemulihan, keselamatan sistem dan juga pemilihan kemudahan komputer.

Ke atas

11. Bagaimana Memberi Kerjasama Terbaik Kepada Juruaudit Di CIDB?

Setiap proses audit mempunyai skop dan objektif yang ditetapkan. Mana-mana juruaudit yang meminta maklumat daripada auditi mestilah boleh menjelaskan tujuan dan skop audit supaya membolehkan auditi memahami sebab soalan diberikan serta menyalurkan jawapan yang tepat.

Bila auditi memahami tujuan audit, ia boleh membantu sama ada menyalurkan maklumat yang relevan ataupun jika auditi bukan sumber terbaik kepada maklumat yang diperlukan, auditi boleh menunjukkan juruaudit kepada individu atau pejabat yang betul.

Jika auditi mempunyai sebarang soalan atau keraguan mengenai maklumat yang dipinta, adalah bersesuaian untuk auditi membincangkan keraguan tersebut dengan Ketua Unit Audit Dalam.

Ke atas

12. Siapa Mengaudit Unit Audit Dalam?

Unit Audit Dalam menuruti Garis Panduan dan Standard Pengauditan Malaysia. Umumnya, Jawatankuasa Audit Lembaga CIDB secara berkala mengadakan semakan dan penilaian kualiti fungsi Unit ini dan mereka akan membuat cadangan terus kepada unit ini dan Lembaga Pengarah CIDB tentang prestasi audit dan pematuhan.

Ke atas

13. Bagaimana Untuk Menghubungi Unit Audit Dalam?

Unit Audit Dalam yang dianggotai oleh Ketua Unit Audit Dalam, Pengurus Audit Dalam, Penolong Pengurus Audit Dalam dan staf sokongan boleh dihubungi melalu talian telefon 03-2617 0237/0235/0236/0238, faks 03-2617 0242 ataupun datang terus ke pejabat yang terletak di Tingkat 10, Grand Seasons Avenue, No.72 Jalan Pahang, 53000 Kuala Lumpur.

Ke atas