Organisasi | Garis Waktu | Fakta | Media
 
Koleksi Petikan Akhbar
 
 

Kenyataan Media Mengenai Senarai Tender bagi Projek Pembangunan dibawah RMK9


Kerajaan kini menggiatkan pelaksanaan program-program dan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK9) hanya selepas satu setengah bulan rancangan itu diluluskan oleh Parlimen. Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan bahawa 880 projek pembangunan baru di bawah RMK9 dengan jumlah nilai RM15.0 bilion akan dilaksanakan melalui proses tender dalam tempoh yang terdekat.

Senarai projek ini merupakan senarai awal yang dikeluarkan, dan Kerajaan akan mengumumkan senarai selanjutnya dari masa ke semasa, selepas mendapat maklumat yang diperlukan daripada kementerian-kementerian yang terbabit.

Antara projek-projek dari senarai awal ini termasuk pembinaan untuk:

  • lebih daripada 450 sekolah rendah dan menengah
  • Jalan seperti membina jalan Padang Besar ke Kayu Hitam, serta projek jambatan seperti di antara Semporna dan Pulau Bum Bum
  • Projek-projek bekalan air di Terengganu
  • Terminal Pengangkutan Bersepadu (Integrated Transportation Terminal) di Gombak, Selangor

Satu metodologi Pengurusan Projek dan Program (PPP) akan digunakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Direktorat Pelaksanaan Negara untuk memantau projek-projek tersebut. Ciri utama metodologi PPP ini akan menerapkan amalan dan proses terbaik dalam perancangan dan pelaksanaan projek.

Ini termasuk memastikan projek akan disiapkan pada kos yang berpatutan dan dalam jangkamasa yang telah ditetapkan. PPP juga akan membangunkan kaedah yang terbukti untuk menilai kesan dan hasil yang tepat bagi memastikan program dan projek yang dilaksanakan mencapai matlamatnya.

Saya yang mempengerusikan Badan Bertindak Pelaksanaan Negara akan memantau pelaksanaan projek-projek ini. Semua Kementerian dan agensi berkenaan bersama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan segera, terutamanya dalam mempercepatkan reka bentuk dan pengeluaran dokumen tender, supaya projek-projek berkenaan dapat dilaksanakan seawal mungkin.

Pada masa yang sama, saya juga mahu seluruh jentera Kerajaan memastikan supaya projek pembangunan lain yang diluluskan di bawah RMK9 dapat dipercepatkan pelaksanaannya supaya rakyat mendapat manfaat daripadanya seperti yang dihasratkan oleh Kerajaan.

Maklumat tender-tender berkenaan akan diiklankan di suratkhabar tempatan serta laman web myGovernment (www.gov.my), JKR (www.kkr.gov.my) dan CIDB (www.cidb.gov.my). Senarai projek boleh didapati di laman web rasmi Pejabat Perdana Menteri (www.pmo.gov.my), Kementerian Kewangan (www.treasury.gov.my), dan Unit Perancang Ekonomi (www.epu.jpm.my).

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi
Putrajaya,
18 Julai 2006.