Program Akreditasi Pekerja Mahir Sektor Binaan
Industri pembinaan merupakan salah satu industri utama dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara dan memainkan peranan penting memenuhi hasrat kerajaan merealisasikan Wawasan 2020. Ianya merupakan industri yang sangat kompetitif dan membabitkan penggunaan tenaga kerja yang ramai. Salah satu cabaran utama yang dihadapi oleh industri pembinaan ialah kualiti dan produktiviti kerja yang rendah. Salah satu sebab utama kemerosotan kualiti ialah penggunaan tenaga kerja kurang mahir di tapak-tapak binaan.
Sejajar dengan fungsi CIDB dalam akta 520 iaitu meakreditasikan dan memperakui pekerja-pekerja binaan mahir, CIDB telah mengorak langkah untuk mengakredit atau memberi pengiktirafan kepada pekerja mahir sektor binaan yang lulus ujian kecekapan kemahiran. Pekerja mahir yang lulus ujian akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB (SKK) bagi pekerja tempatan atau Perakuan Kemahiran Pekerja Asing (PKPA) bagi pekerja asing. Adalah menjadi matlamat CIDB kelak hanya pekerja yang mempunyai sijil/perakuan tersebut layak melaksanakan kerja-kerja yang memerlukan kemahiran di tapak bina. Sila rujuk Surat Pekeliling bil.1/2006
OBJEKTIF PROGRAM
· Mempertingkatkan tahap kualiti kerja di tapak binaan.
· Mengiktiraf dan mempertingkatkan kerjaya pekerja mahir.
· Memastikan supaya pekerja mahir memenuhi Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS).
· Menggalakkan hanya pekerja binaan yang berkemahiran sahaja bekerja di tapak bina.
KUMPULAN SASARAN
· Pekerja Binaan Tempatan yang ingin ditauliahkan sebagai pekerja mahir.
SYARAT-SYARAT PERMOHONAN
· Warganegara Malaysia dan bekerja dalam sektor pembinaan.
· Pemohon perlu mempunyai Kad Hijau yang masih sah tempoh laku/telah mengemukakan permohonan Kad Hijau.
· Yuran akreditasi bagi permohonan pertama dibiayai oleh CIDB dan pemohon dikehendaki membiayai sendiri permohonan yang seterusnya mengikut kadar yang ditetapkan oleh CIDB.
· Tred ujian yang telah dipohon tidak boleh di tukar kepada tred lain.
· CIDB hanya akan berurusan dengan pemohon/wakil yang dilantik oleh syarikat.
TEMPAT UJIAN AKREDITASI
· Ujian akreditasi akan dijalankan di Akademi Binaan Malaysia (ABM). Akademi Binaan Malaysia yang terdapat di Malaysia ini ialah :-
Ø Akademi Binaan Malaysia Tengah
Ø Akademi Binaan Malaysia Timur
Ø Akademi Binaan Malaysia Utara
Ø Akademi Binaan Malaysia Selatan
Ø Akademi Binaan Malaysia Sabah
Ø Akademi Binaan Malaysia Sarawak
Ø Pusat Ujian yang ditauliahkan oleh CIDB
· Ujian akreditasi boleh dijalankan di tapak bina sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak CIDB.